Semasa Sidang Khas Parlimen semalam, kerajaan dilaporkan telah membuat keputusan untuk tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini. Selain itu juga, kerajaan telah memutuskan berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, semua enam ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam. Pembatalan semua Ordinan Darurat itu yang berkuatkuasa pada 21 Julai yang lalu menyebabkan kerajaan hanya boleh menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada dan pastinya ini memberi cabaran kerana situasi semasa semakin kritikal dengan jangkitan harian pernah mencecah 17,000 kes.

Penamatan Proklamasi Darurat dan pembatalan enam Ordinan Darurat mengundang beberapa persoalan berkaitan kemampuan kerajaan menangani pandemik Covid-19, tanpa peruntukan undang-undang yang memberi kuasa segera dan drastik. Ini kerana, keenam-enam Ordinan Darurat itu amat penting kerana memberi kuasa yang segera dan drastik kepada kerajaan, misalnya dalam urusan mengambil alih bangunan untuk tujuan rawatan Covid-19 dan arahan kepada hospital swasta untuk membantu.

Senarai Enam Ordinan Darurat Dan Kesan Pemansuhannya

Kredit gambar: https://berita.rtm.gov.my/index.php/nasional/25679-denda-maksimum-rm10-000-langgar-sop-bagi-kesalahan-berulang

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan beberapa ordinan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat. Antaranya undang-undang tersebut adalah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021. Selain itu, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (pindaan) 2021 turut dilaksana dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Contoh paling mudah adalah penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara sebanyak RM5 bilion bagi tujuan pembelian vaksin. Pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 (KWAN) semasa Proklamasi Darurat yang membolehkan kerajaan menggunakan dana kumpulan wang itu untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan. Tanpa Ordinan Darurat tersebut, sebarang peruntukan yang berhubungan dengan perbelanjaan kerajaan memerlukan suatu Akta atau Enakmen atau ketetapan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri dan pengeluaran daripada mana-mana Kumpulan Wang itu.

Selain itu juga, tiada lagi denda maksimum RM10,000 bagi mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP). Ini kerana, tanpa Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021, penguatkuasaan kembali bergantung kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Kadar kompaun pula kembali kepada jumlah maksimum RM1,000 untuk sebarang kesalahan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Keperluan Pelaksanaan PRK Dan PRN Sarawak

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/843654/dun-sarawak-sudah-terbubar

Menurut Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang tertangguh akibat Proklamasi Darurat pula mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Ordinan Darurat dibatalkan pada 21 Julai lalu. Ini bermakna PRN Sarawak Ke-12 perlu diadakan sebelum 18 September depan.

Pada pandangan beliau, pelaksanaan PRN itu antara kesan utama kepada pembatalan enam Ordinan Darurat yang dibuat oleh Kabinet. Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak perlu diisytiharkan terbubar kerana tamat tempoh lima tahun. Ini kerana, DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu, namun proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Selain itu juga, semua kerusi Parlimen dan DUN yang kosong dalam tempoh Proklamasi Darurat seperti DUN Melor di Kelantan perlu diisi melalui Pilihan Raya Kecil (PRK), juga dalam tempoh 60 hari Ordinan Darurat tidak lagi berkuat kuasa. Terdapat juga persoalan mengenai darurat khusus untuk Parlimen Batu Sapi, Parlimen Gerik dan DUN Bugaya. Sekiranya ia turut ditamatkan, maka PRK untuk kerusi-kerusi berkenaan perlu segera dilaksanakan.