Kitar semula barangan terpakai dan lusuh sebenarnya mempunyai banyak kebaikan. Sebagai contoh, besi lusuh boleh dikitar semula untuk dijadikan barangan baharu tanpa memerlukan kepada aktiviti perlombongan bijih besi.

Keadaan cuaca ekstrem dan perubahan iklim yang tidak menentu akhir-akhir ini banyak menjejaskan kualiti kehidupan kita. Banjir besar seringkali terjadi di kawasan-kawasan yang sebelum ini tidak pernah ditenggelami air.

Kajian mendapati jumlah sisa pepejal negara telah mencecah lebih dari 33,000 tan sehari. Namun begitu, daripada jumlah tersebut hanya 10.5 peratus sahaja dikitar semula untuk dijadikan produk lain. Kajian dari UPM ini menunjukkan pada tahun 2018, rakyat Malaysia membuang sumber yang boleh dikitar semula bernilai RM476 juta.

Semua jenis barang yang diperbuat daripada aluminium seperti tin-tin minuman boleh dikitar semula. Aluminium dan tin minuman, foil aluminium dan bahan logam lain adalah sedia untuk dikitar semula.

Sesetengah bahan logam seperti besi, timah dan aluminium mempunyai harga pasaran yang tinggi. Bagi setiap tan metrik, besi lusuh kini berharga RM2,553 hingga RM2,738.

Namun, ia mendatangkan masalah kepada negara seperti India. Ini kisah kecurian jambatan lusuh di daerah Bhubaneswar.

Topografi bandar Bhubaneswar

Kredit gambar: BBC

Bandar ini mempunyai penduduk seramai 1.7 juta penduduk pada tahun 2011. Ia merupakan antara bandar moden terancang yang terawal di India.

Terletak di pesisir pantai Timur India, bandar ini memiliki altitud setinggi 45m dari aras laut. Bhubaneswar juga dikelilingi oleh beberapa batang sungai seperti Sungai Mahanadi sepanjang 900km, Sungai Daya dan Sungai Kuakhai.

Muka bumi bandar ini menyebabkan banyak jambatan dibina sejak dahulu lagi untuk memudahkan pengangkutan. Namun begitu, modenisasi menyebabkan banyak jambatan lama terbiar usang. 

Ia digantikan dengan jambatan konkrit yang lebih selamat dan mudah untuk diselenggara. Jambatan lama pula terbiar usang dan mengundang kepada banyak masalah kepada penduduk setempat.

Kecurian jambatan di Kampung Amiyavar

Kredit gambar: BBC

Jambatan tersebut telah dibina pada tahun 1976. Ia dibina menggunakan kayu dan besi sebagai medium utama. Namun begitu, ia kemudiannya digantikan dengan jambatan konkrit bagi memudahkan pengangkutan penduduk setempat.

Jambatan lama sepanjang 60 kaki dan setinggi 12 kaki tersebut dibiarkan mereput dan terbiar. Ia merupakan pandangan yang menyakitkan mata kepada penduduk kampung. Maka, apabila beberapa orang lelaki menyamar sebagai Pegawai Jabatan Pengairan, penduduk kampung merasa lega.

Pencuri yang menyamar ini membawa bersama sepasukan pekerja. Mereka bekerja dengan kelengkapan jentolak dan pemotong gas bagi meruntuhkan struktur jambatan besi tersebut.

Kecurian tersebut terbongkar apabila seorang penduduk kampung menghubungi Jabatan Pengairan bagi pengesahan. Polis dikerahkan ke tempat kejadian dan merampas sebuah traktor penyodok dan peralatan memotong besi.

Bersama mereka juga, potongan besi seberat 247kg berjaya dirampas. Dianggarkan besi lusuh bagi jambatan tersebut memiliki berat 500 tan.