Pada sekitar bulan Ogos 2021, terdapat 2,312 kedai Uniqlo yang beroperasi di seluruh dunia. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM9.6 bilion keuntungan sebelum cukai dicatatkan.

Ia merupakan peningkatan keuntungan sebanyak 73.9 peratus berbanding tahun lalu. Sekali lagi, Uniqlo menunjukkan prestasi kewangan yang cemerlang biarpun berhadapan dengan pandemik.

Jenama Uniqlo ini juga tidak asing lagi bagi pengguna di Malaysia. Kedai pakaian ini yang pertama dibuka seawal tahun 2010 di Fahrenheit 88, Bukit Bintang. Pada hari ini, terdapat 48 buah kedai Uniqlo beroperasi di seluruh negara.

Kejayaan Uniqlo sering menjadi bahan kajian dan penyelidikan pakar perniagaan. Namun begitu, sebenarnya jenama ikonik ini hanya lahir dari kesilapan pendaftaran oleh pekerjanya. Ini kisah kesilapan ejaan yang membawa kepada kelahiran jenama baru yang mendominasi dunia fesyen.

Kesilapan ejaan “uni-clo” sebagai “uni-qlo”

Kredit gambar: SCMP

Jenama Uniqlo dimiliki oleh syarikat Fast Retailing yang beribu pejabat di Tokyo, Jepun. Sebenarnya, Uniqlo diasaskan pada tahun 1949 sebagai syarikat fesyen untuk lelaki dengan nama Men’s Shop OS.

Hanya 35 tahun kemudian, Men’s Shop OS mula beradaptasi sebagai syarikat fesyen untuk lelaki dan wanita. Bagi tujuan tersebut, pada tahun 1984, ia menukarkan namanya kepada Unique Clothing Warehouse. Kedai pertamanya dibuka di Fukuro-machi, Hiroshima.

Bagi memendekkan nama kedai baru ini, pemiliknya Tadashi Yanai mahu menggunakan nama “uni-clo”. Namun, pada tahun 1988, kesilapan pejabat pendaftaran di Hong Kong mengubah segalanya.

Kerani di pejabat pendaftaran tersebut telah melakukan kesilapan dengan membaca “uni-clo” sebagai “uni-qlo”. Tadashi Yanai akhirnya bersetuju dengan jenama baharu tersebut dan menggunakannya. Tiga tahun kemudian, sebanyak 100 buah kedai Uniqlo berjaya dibuka di seluruh Jepun.

Kejatuhan ekonomi dan kejayaan Uniqlo

Kredit gambar: Sourcing Journal

Pada awal 1990-an, iaitu ketika Unqilo sedang meningkat naik, ekonomi Jepun sedang mengalami masalah. Namun begitu, Uniqlo dapat bertahan dek kerana kedudukan jenama mereka sebagai fesyen mampu milik untuk semua.

Ini menjadikan jenama Uniqlo semakin popular dan menjadi pilihan pengguna yang mahukan kualiti pada harga yang munasabah. Menurut Tadashi Yanai, Uniqlo banyak belajar dari jenama antarabangsa popular ketika itu, GAP.

Bagi mengelakkan mereka terjerumus dalam kancah kerugian, Uniqlo mula mengeluarkan pakaian yang diimport dari China. Ini bagi mengawal kos pengeluaran disamping mendepani krisis ekonomi di Jepun. Strategi ini dengan kawalan kualiti yang ketat akhirnya membuahkan hasil.

Pada tahun 2001, Jepun berjaya keluar dari kemelut ekonomi yang melanda negara tersebut. Dan Uniqlo mencatatkan 500 buah kedai di seluruh Jepun pada tahun tersebut.