Selepas kejayaan Grab memasuki pasaran saham Nasdaq, Ketua Pegawai Eksekutifnya Anthony Tan berkata syarikat tersebut akan terus memfokuskan perniagaan mereka di pasaran Asia Tenggara. Fokus Grab selepas ini adalah penghantaran dan juga teknologi kewangan.

Modal yang diperolehi daripada penyenaraian tersebut akan digunakan sepenuhnya oleh Grab bagi mencipta rangkaian perkhidmatan penghantaran dengan kos yang efisyen. Selain itu juga, Grab dilapor berhasrat untuk merevolusikan sistem pembayaran secara e-dompet, perkhidmatan kewangan serta perbankan digital.

Antara e-dompet yang paling kerap digunakan di Malaysia adalah Grab, Touch n Go, Boost dan Fave. Laporan oleh Mastercard Impact Study pada tahun lalu menunjukkan pengguna di Malaysia adalah yang paling ramai menggunakan e-dompet di Asia Tenggara. Seramai 40 peratus pengguna telah beralih ke e-dompet di Malaysia, diikuti oleh Filipina sebanyak 36 peratus, Thailand 27 peratus dan Singapura sebanyak 26 peratus. Malaysia juga merupakan negara yang paling banyak membuat pembelian secara dalam talian dengan hampir separuh pembelian dilakukan secara maya.

Asia Tenggara merupakan rumah kepada 670 juta orang penduduk, iaitu hampir sekali ganda penduduk Amerika Syarikat. Maka, sasaran Grab untuk mengembangkan perkhidmatan penghantaran di Asia Tenggara ternyata tepat bagi mengembangkan pasaran yang masih belum diteroka.

Sumber: