Pada 18 Mei 2006, pemain bawah 16 tahun Queens Park Rangers Kiyan Prince terbunuh semasa cuba meleraikan pergaduhan di London Academy, Edgware. Berusia 15 tahun sewaktu kejadian, Kiyan dilaporkan cuba membantu seorang kawannya yang sedang diganggu di luar kawasan sekolah sebelum beliau ditikam di bahagian dada. Kiyan merupakan seorang pemain bola sepak remaja yang berpotensi besar dilaporkan kehilangan nyawanya akibat kecederaan tersebut.

Bapanya, Dr Mark Prince OBE mengasaskan The Kiyan Prince Foundation dua tahun kemudian sebagai memperingatinya. Yayasan ini ditubuhkan dengan hasrat untuk membantu murid-murid di sekolah rendah dan menengah dengan program mentor, perkongsian dan latihan. Pada tahun 2019, Stadium QPR iaitu Loftus Road dinamakan kembali sebagai Kiyan Prince Foundation Stadium sebagai penghargaan kepada Kiyan.

Menerusi kerjasama EA Sports dan The Kiyan Prince Foundation, watak Kiyan Prince dijelmakan kembali di dalam kemas kini terbaharu FIFA 21 pada hari ini. Sebagai memperingati 15 tahun kematian tragis Kiyan, beliau dijelmakan sebagai seorang pemain berusia 30 tahun iaitu sesuatu yang mungkin sedang berlaku sekarang andainya beliau masih ada.

Rekaan perwatakan beliau dihasilkan oleh Studio Framestore berdasarkan maklumat yang diberikan oleh keluarga Prince dan juga saintis dari University of Bradford. Corak dan gaya permainan beliau juga dihasilkan berdasarkan maklumat dan maklum balas daripada mantan rakan sepasukan beliau sewaktu dinobatkan sebagai โ€˜The Bulletโ€™ atas kelincahan dan kepantasannya di dalam padang.