Sudah hampir separuh bulan Ramadan dilalui pada tahun ini. Berbeza dengan sambutan Ramadan sewaktu pandemik, kali ini hotel dan restoran dilimpahi dengan tempahan dan hidangan berbuka puasa secara bufet.
Terma bufet berasal daripada Bahasa Inggeris dengan ejaan buffet. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bufet bermaksud hidangan pelbagai jenis makanan dan minuman yang biasanya dihidangkan di atas meja. Kebiasaannya, tetamu akan mengambil makanan mengikut kadar yang dikehendakinya secara layan diri.
Namun begitu, asal usul bufet bukanlah seperti yang kita lihat pada hari ini. Terdapat beberapa perdebatan tentang permulaan cara hidangan bufet ini. Namun begitu, ramai yang beranggapan bahawa hidangan bufet berasal daripada negara Sweden.
Ia bermula sebagai smorgasbord, yang turut diadaptasi sebagai Bahasa Inggeris. Berikut merupakan kisah asal usul hidangan popular ini.
Adaptasi daripada smorgasbord
Cara hidangan makanan secara bufet bermula dari tradisi Sweden dan dipraktikkan di Eropah Utara. Smorgasbord terdiri daripada gabungan hidangan makanan panas dan sejuk yang diletakkan di atas meja. Oleh kerana asal usulnya dari Sweden, ia banyak menghidangkan makanan yang tradisinya dekat dengan masyarakat tempatan.
Hidangan smorgasbord biasanya terdiri daripada roti, mentega dan keju. Secara tradisinya, smorgasbord dimulakan dengan memakan makanan seperti ikan herring, salmon dan belut. Selepas itu, hidangan kedua berasaskan makanan sejuk pula menyusul.
Tidak menjadi kewajipan bagi pencuci mulut dihidangkan bersama di dalam smorgasbord. Terdapat juga hidangan smorgasbord yang istimewa sewaktu perayaan Krismas yang dipanggil julbord.
Tidak seperti smorgasbord, julbord mempunyai susunan hidangan tersendiri antara lima hingga tujuh jenis makanan. Ini termasuklah roti marzipan, keju cheddar, kekacang, telur udang, sosej kentang dan juga bebola daging.
Dianggap sebagai pameran kekayaan
Emas dan perak sering dianggap sebagai ukuran kekayaan sesuatu kerajaan pada zaman dahulu. Namun begitu, penggunaan pinggan, sudu dan garfu daripada emas dan lapik meja bertekstil sutera juga digunakan sebagai lambang kekayaan.
Pada kurun ke-16, terma bufet diaplikasi di Perancis bagi menggambarkan makanan dan susun atur meja tersebut. Raja Louis XIV yang memerintah sehingga 1715 di Perancis sering digambarkan sebagai memiliki kekayaan dan menayangkannya dalam bentuk bufet.
Sehingga hari ini, terdapat sejenis meja makan yang dinamakan sempena nama baginda. Namun begitu, raja yang digelar Loius The Great ini terpaksa menjual alatan bufet baginda pada akhirnya untuk membiayai perang.
Pada hari ini, bufet merupakan amalan biasa di mana-mana hotel dan restoran. Hidangan di Brazil sebagai contoh menimbang dahulu makanan sebelum harga diberikan kepada pelanggan.
Apa yang penting, elakkan pembaziran sewaktu mengambil makanan sekiranya anda mahu menikmati hidangan bufet.