Sejak beberapa hari kebelakangan ini, terdapat gesaan untuk berhenti dari menggunakan dan membeli beberapa jenama terkenal dunia oleh penduduk di China. Jenama besar dan terkenal ini termasuklah H&M, Nike, Adidas, Converse dan Burberry.

Penyanyi terkenal di China, Eason Chan dan pelakon seperti Zhang Yixing dan Bai Jingting kesemuanya mahu menamatkan kontrak mereka sebagai model kepada syarikat-syarikat ini. Dalam masa 48 jam sahaja, dilaporkan hampir 27 artis terkenal dari China menamatkan kontrak model mereka dengan Adidas, Calvin Klein dan Nike.

Syarikat-syarikat gergasi elektronik mereka seperti Tencent dan Alibaba juga menyekat sebarang jual beli dengan syarikat-syarikat ini.

Tindak balas ini dilakukan oleh mereka disebabkan seruan memboikot kapas yang dihasilkan oleh lebih 500,000 orang buruh paksa Muslim Uighur oleh H&M, Nike, Adidas dan gergasi pakaian dunia yang lain.

Apa yang sedang berlaku di Uighur?

Kredit gambar: https://bridge.georgetown.edu/research/concentration-camps-police-state-and-now-forced-birth-control-how-china-is-committing-genocide-against-uighur-muslims/

Penindasan demi penindasan yang menimpa minoriti Islam di Uighur amat membimbangkan masyarakat dunia. Salah satu cara bagi menarik perhatian pimpinan negara komunis itu untuk menghentikan kerahan tenaga Muslim Uighur adalah dengan memboikot kapas dari negara China.

Masyarakat Islam di Uighur dipaksa dan dikerah untuk bekerja oleh kerajaan mereka di ladang-ladang kapas tanpa bayaran yang berpatutan. Sebelum ini juga, BBC pernah melaporkan isu penahanan Muslim Uighur di kem-kem tahanan yang memaksa mereka keluar dari agama Islam.

Tahanan lelaki diseksa, diberi makanan yang tidak halal dan tidak dibenarkan untuk beribadah. Tahanan wanita pula dirogol, diperkosa dan diseksa dengan kejam oleh orang-orang yang mereka tidak kenali sepanjang berada di kem tahanan tersebut.

Muslim Uighur juga langsung tidak dibenarkan untuk memberi salam, menyimpan naskah al-Quran di rumah dan mengamalkan ajaran Islam secara terang-terangan.

Industri kapas di Xinjiang

Kredit gambar: https://qz.com/1943843/the-us-crackdown-on-xinjiang-cotton-has-fashion-brands-scrambling/

Seramai 12.8 juta masyarakat Muslim Uighur tinggal dan menetap di Xinjiang. Xinjiang merupakan kawasan penanaman kapas yang membekalkan4 peratus daripada keperluan kapas bagi seluruh negaranya. Eksport kapas dari China pula meluputi 22 peratus daripada keperluan kapas ke seluruh pelusuk dunia.

Tanpa akses kepada maklumat yang jelas, adalah mustahil untuk mengandaikan anda tidak pernah memiliki sebarang pakaian yang diperbuat daripada jerih perih usaha seorang buruh paksa dariĀ  wilayah Xinjiang, China.

Terdapat beberapa syarikat yang secara terang-terangan mengaku menggunakan kapas dari Xinjiang iaitu Muji dan Uniqlo. Setakat ini, kedua-dua syarikat tersebut menurunkan iklan mengenai penjualan baju yang dihasilkan dari kapas Xinjiang.

Perniagaan dan etika: yang mana akan menang?

Kredit gambar: https://www.abc.net.au/news/2019-11-01/muji-uniqlo-flaunt-xinjiang-cotton-despite-uyghur-human-rights/11645612

Apabila gergasi pakaian dunia mula memberikan tekanan terhadap kapas yang dihasilkan oleh buruh paksa di China, mereka berhadapan dengan seruan boikot oleh syarikat dan penduduk China.

Ini merupakan realiti pahit yang harus ditelan oleh mereka. China merupakan pasaran kepada seramai 1.4 bilion pembeli, dan boikot yang dianjurkan oleh mereka sudah tentu memberikan kesan terhadap perniagaan.

Bayangkan, dalam masa 24 jam sahaja H&M terus lenyap dari jejak digital di seluruh China. Tiada sebarang akses ke laman sesawang mereka, malah anda tidak boleh menempah kereta untuk ke kedai fizikal H&M di sana.

Dalam masa yang sama, H&M merupakan syarikat gergasi Sweden yang amat menekankan soal etika dan kemanusiaan. Sebagai ahli kepada pergerakan Better Cotton Initiative yang turut dianggotai oleh Nike, Adidas, New Balance, Burberry, Puma, dan Tommy Hilfiger, syarikat-syarikat ini tidak akan mengalah begitu sahaja. Demi memastikan industri kapas dunia tidak tercemar dengan titik peluh buruh paksa.