Terdapat banyak jenama terkenal di dunia yang mungkin mudah untuk disebut, tetapi sukar untuk dieja dengan betul. Ini kerana, ejaan bagi perkataan yang bernuansa Eropah dan Asia Timur kadangkala berbeza dengan sebutannya. Ditambah pula dengan cadangan Google semasa carian yang banyak membantu dan tidak memerlukan pengguna untuk tahu ejaan sebenar bagi mencari maklumat.
Menggunakan sistem analisa kata kunci Ahrefs, laman web Money dari United Kingdom membuat kajian mengenai jenama-jenama ini. Sebagai contoh, langsung tiada bunyi huruf H di dalam ejaan jenama Lamborghini. Namun begitu, huruf H sebenarnya ada di dalam ejaannya.
Daripada lapan jenama tersebut, empat daripadanya adalah jenama pembuat kereta terkenal. Berikut merupakan keempat-empat jenama tersebut mengikut kemaskini laman web Statista.
1. Hyundai: Kerap dieja sebagai Hundai atau Hiundai
Jenama kereta Korea ini mendahului senarai jenama terkenal dunia yang paling kerap disalah eja. Purata sebanyak 605,000 kesalahan ejaan ini dianalisa oleh Ahrefs, dengan Hyundai kerap dieja sebagai Hundai ataupun Hiundai.
Kumpulan Hyundai merupakan pengeluar kereta ketiga terbesar di dunia selepas Toyota dan Valkwagen. Ia juga meninggalkan pesaing seperti Ford, Honda dan Nissan di belakangnya.
2. Lamborghini: Kerap dieja sebagai Lamborgini dan Lambogini
Disebalik pandemik yang melanda, jenama kereta super Lamborghini mencatatkan jualan memberangsangkan pada tahun 2020. Sebanyak 7,430 kereta jenama ini terjual sepanjang tahun 2020. Ia juga tercatat sebagai tahun kedua terbaik dari segi jualan dimana pada tahun 2019, 8,205 kereta ini telah terjual.
Popularitinya bagaimanapun tidak membolehkan ejaan betul jenama ini diketahui umum. Ia kerap disalah eja sebagai Lamborgini dan Lambogini.
3. Ferarri: Kerap dieja sebagai Ferari
Sebuah lagi jenama kereta paling kerap disalah eja adalah Ferrari, juga jenama kereta mewah. Sama seperti Lamborghini, ejaan paling kerap disalah eja adalah tanpa R kedua, iaitu Ferari.
Pada tahun 2019, sebanyak 10,131 buah Ferrari terjual di seluruh dunia dengan Amerika Syarikat, Jerman dan United Kingdom sebagai negara pembeli terbanyak. Ia menurun kepada 9,119 unit pada tahun 2020, impak daripada pandemik.
4. Suzuki: Kerap dieja sebagai Susuki atau Suzki
Jenama Jepun ini menduduki tempat ketujuh dari lapan jenama paling kerap disalah eja. Sebanyak 78,800 carian dikesan mengeja jenama ini sebagai Susuki (meninggalkan Z) dan juga Suzki (tanpa U).
Untuk kita, ejaan Suzuki kelihatan mudah kerana ia dekat dengan ejaannya. Namun, ejaan ini mungkin menjadi masalah bagi pengguna internet yang tidak mengenali jenama ini seperti mereka di Eropah dan Asia Barat.
Tidak hanya mengeluarkan kereta, Suzuki juga banyak mengeluarkan motorsikal dan kenderaan perdagangan ringan. Jumlah jualan Kumpulan Suzuki bagi tahun 2020 adalah sebanyak 1,934,513 unit kenderaan.