Ketua Pegawai Eksekutif Xiaomi Corporation, Lei Jun menggesa industri telefon pintar China untuk kembali beroperasi secepat mungkin kerana wabak Koronavirus (COVID-19) akan terus mengganggu aktiviti ekonomi di seluruh negara tembok besar itu.

Hal ini kerana kilang-kilang dan pembekal di seluruh China telah menggantung proses pengeluaran buat sementara susulan wabak tersebut dan sektor telefon pintar juga tidak terkecuali daripada terkena tempias.

Menurut sumber Reuters, meskipun sekatan perjalanan telah dikurangkan di beberapa kawasan pada minggu ini, pekerja asing dilaporkan mengalami masalah untuk kembali bekerja dan banyak kedai dan pusat membeli-belah kosong atau ditutup.

Penganalisis industri turut menjangkakan wabak COVID-19 itu akan menyebabkan penghantaran telefon pintar di tanah besar China mencatatkan penurunan sebanyak kira-kira 40% pada suku pertama berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam pada itu, Lei Jun turut menunjukkan rasa simpatinya dan mengakui beliau terkesan dengan apa yang telah dihadapi wilayah Hubei dan Bandar Wuhan.

”Saya dari Hubei dan menghabiskan empat tahun belajar [kolej] di Wuhan, jadi perasaan saya terhadap Wuhan agak mendalam.”

”Saya percaya Wuhan adalah bandar yang gemilang dan saya percaya bahawa lebih ramai orang Wuhan yang berani dan optimis dapat memerangi virus ini,” ujar CEO berusia 50 tahun itu ketika majlis pelancaran telefon pintar keluaran terbaharu Xiaomi iaitu siri Mi 10.

Kredit foto: Quartz