Jurutera perisian dan eksekutif di Google dilaporkan sengaja menyukarkan pengguna untuk menutup penjejakan lokasi mereka di telefon pintar masing-masing. Menurut dokumen yang dinyahsulit bagi proses saman di Mahkamah Arizona, Google masih membiarkan lokasi pengguna tertiris biarpun tetapan perkongsian lokasi tersebut telah dinyahaktif. Dokumen itu juga menunjukkan Google dengan sengaja menyorokkan tetapan tersebut untuk menyukarkan pengguna mereka.

Saman terhadap Google ini dimulakan oleh Peguam Negeri Arizona, Mark Brnovich sejak Mei tahun lalu. Peguam tersebut mendakwa Google mempunyai cara untuk mengetahui lokasi pengguna walaupun mereka memilih ketetapan tidak berkongsi maklumat lokasi dengan firma internet itu.

Pengguna Google sebenarnya diperdaya untuk mempercayai bahawa mereka boleh memilih untuk menyahaktif penjejakan lokasi. Syarikat tersebut sebenarnya dilaporkan boleh menggunakan cara lain untuk menyerang privasi pengguna dengan berkongsi penjejakan lokasi tersebut kepada pihak ketiga.

Bagaimanapun, jurucakap bagi Google Jose Castaneda menafikan syarikatnya membenarkan penjejakan lokasi seperti yang didakwa. Menurut beliau, Google menghormati privasi pengguna mereka dan menyediakan khidmat penjagaan data lokasi yang terbaik. Peguam Google akan berhujah di mahkamah bagi menafikan dakwaan dan membetulkan salah anggap ini.