Dalam bulan November sahaja, dua kes berkaitan kanak-kanak terjatuh dari rumah dilaporkan media. Pada 16 November, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dilaporkan maut selepas terjatuh dari rumahnya di tingkat 29. Keesokan harinya, pada 17 November pula, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 16.

Terdapat persamaan yang ketara antara kedua-dua kes ini. Kedua-dua kediaman tersebut merupakan kediaman jenis strata, dan kedua-dua rumah tidak memiliki sebarang jeriji keselamatan di tingkapnya.

Tanpa pengawasan dan tindakan yang serius, kes-kes ini akan berterusan dan mengundang kematian, terutamanya kepada kanak-kanak. Maka, timbul semula cakap-cakap bagi mewajibkan penghuni untuk memasang jeriji keselamatan di kediaman strata mereka.

Berikut merupakan cadangan di peringkat Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan serta nasihat Bomba tentang pemasangan jeriji.

Jeriji keselamatan: dilema penghuni

Kredit gambar: Booking

Pemasangan jeriji boleh mengelakkan kejadian buruk seperti kanak-kanak terjatuh daripada kondominium dan pangsapuri. Namun begitu, setakat ini tiada undang-undang yang mewajibkan pemaju untuk menyediakannya.

Sementara itu, penghuni pula selalu berhadapan dengan kerumitan untuk memasang jeriji keselamatan. Lebih-lebih lagi apabila penghuni hanyalah penyewa lot kediaman tersebut. Terdapat juga segelintir pemilik kediaman yang menghalang penyewa untuk memasang jeriji tersebut.

Penambahbaikan boleh dibuat di dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam atau Undang-Undang Strata Bangunan. Dengan penggubalan undang-undang ini, pemaju boleh diwajibkan untuk memasang peralatan keselamatan yang mempunyai reka bentuk bersesuaian. Ia termasuklah jeriji tingkap dan pintu sliding yang mendapat kelulusan Jabatan Bomba.

Garis panduan Bomba bagi pemasangan jeriji

Kredit gambar: Berita Harian

Ada juga pemilik kediaman yang menggunakan alasan keselamatan penghuni sewaktu kebakaran untuk melarang pemasangan jeriji. Biarpun alasan tersebut wajar, sebenarnya Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pernah mengeluarkan garis panduan keselamatan bagi pemasangan jeriji ini.

Diterbitkan pada tahun 2004 lagi, ia mengandungi ilustrasi yang boleh membantu pemilik dan penyewa kediaman untuk memasang jeriji. Secara amnya, Bomba tidak menggalakkan pemasangan jeriji bagi kediaman bukan strata. Namun begitu, jeriji keselamatan boleh dipasang dengan mematuhi garis panduan seperti:

  • Mempunyai kunci yang mudah dibuka dari dalam ketika berlakunya kecemasan;
  • Kos pemasangan dan penyelenggaraan yang tidak membebankan;
  • Sekiranya ada kunci tambahan, ia mestilah mudah dibuka oleh semua golongan dan;
  • Bagi kediaman melebihi tiga tingkat, disarankan untuk memasang jeriji di anjung tingkap dan anjung kediaman jiran.

Maka, adalah tidak betul sekiranya pemilik kediaman menyalahkan Bomba dalam hal pemasangan jeriji.

Jawatankuasa teliti syor wajibkan jeriji balkoni

Kredit gambar: Job Cari

Pada hari ini, bangunan kediaman dibina jauh lebih tinggi bagi menampung permintaan. Razak City Residence, Sungai Besi umpamanya dibina setinggi 48 tingkat. Kediaman M Vertica pula dibina sehingga 50 tingkat di Jalan Cheras.

Maka, adalah perlu bagi kerajaan untuk mewujudkan undang-undang mewajibkan pemasangan jeriji pada tingkap dan balkoni kediaman tinggi.

Setakat ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilapor sedang membentuk jawatankuasa bagi meneliti cadangan untuk mewujudkan undang-undang mewajibkan pemasangan jeriji. Antara jabatan yang terlibat ialah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Perumahan Negara (JPN) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) serta pakar dalam bidang itu juga akan menganggotai jawatankuasa tersebut.

Semoga dengan adanya undang-undang khusus bagi pemasangan jeriji ini akan membuka mata semua pihak tentang kepentingannya.