Isu penyeludupan arak dan rokok adalah masalah besar dan amat serius di mana-mana negara. Malaysia turut berdepan masalah isu penyeludupan yang tidak pernah ada kesudahannya. Negara kita berhadapan dengan kerugian tahunan RM5 bilion dari segi kutipan cukai akibat pasaran rokok seludup dan penyeludup mengambil kesempatan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

Sebanyak 64.5 peratus rokok di pasaran tidak membayar cukai, sekali gus ini bermakna enam daripada 10 rokok yang berada di pasaran sebenarnya dijual secara tidak sah. Kajian oleh Nielsen Malaysia menunjukkan pada tahun 2018, sebanyak 57.1 peratus rokok di Malaysia diseludup, dengan peningkatan kepada 65 peratus pada tahun 2020 menjadikan negara kita mencatatkan perdagangan rokok seludup tertinggi di dunia.

Sindiket penyeludupan rokok kini mengubah cara operasi mereka susulan peningkatan langkah penguatkuasaan oleh kerajaan yang dibentang dalam Belanjawan 2021. Pelabuhan-pelabuhan besar di Malaysia sebelum ini menjadi laluan utama perdagangan rokok seludup, namun langkah penguatkuasaan terbaharu itu menyebabkan penjenayah mengubah taktik. Kini, sindiket menggunakan jalan pintas seperti laluan logistik baharu dan teknologi canggih termasuk menggunakan dron bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Penggunaan dron sebagai alat pengangkutan bagi penyeludupan bukanlah perkara baru. Tahun lalu, sekumpulan penjenayah di Singapura dan Johor ditahan oleh polis Singapura dan PDRM atas penyeludupan dadah menggunakan dron.

Kawalan sempadan yang lebih ketat sejak tahun ini sudah memperlihatkan kesan positif dengan laporan sepanjang suku pertama tahun ini, pihak berkuasa dilaporkan merampas 76.2 juta batang rokok seludup yang dibawa masuk melalui laluan perairan, berbanding 34 juta batang rokok sepanjang tahun 2020.