Sejak kebelakangan ini, bahasa Melayu dilihat semakin tenat apabila rakyat Malaysia sendiri tidak mengambil endah mengenai penggunaan bahasa kebangsaan yang betul. Bahasa Melayu yang hanya sekadar diangkat sebagai bahasa utama di dalam majlis rasmi, mesyuarat dan pelbagai acara kerajaan juga kini berhadapan dengan masalah bahasa campuran. Lebih malang lagi, penggunaan bahasa campuran atau bahasa rojak yang turut melibatkan program rasmi yang dianjurkan oleh pihak kerajaan seperti penggunaan perkataan Food Bank.

Walhal, nama program tersebut boleh sahaja digunakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu iaitu Bank Makanan.

Bahasa kebangsaan merupakan lambang dalam budaya dan melalui pembinaan bahasa juga sesuatu budaya boleh dipengaruhi. Antara isu yang sering dibangkitkan dalam pembinaan sesesebuah negara bangsa ialah isu bahasa. Hal ini demikian kerana bahasa merupakan lambang jati diri bagi sesuatu masyarakat atau bangsa itu.

Bahasa kebangsaan menurut Perlembagaan Persekutuan

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2020/02/657010/undi-percaya-kepercayaan-kepada-kerajaan

Sebarang acara rasmi kementerian dan seluruh agensi di bawah Kerajaan Persekutuan termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa, wajib menggunakan serta mendahulukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152 (1) dan Perkara 152 (6) memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi negara termasuk dalam Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

Manakala tafsiran Perkara 160 menjelaskan lagi maksud pihak berkuasa awam meliputi Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan Persekutuan, raja dan sultan, kerajaan negeri, kerajaan tempatan, majlis daerah, mahkamah, perbadanan serta agensi kerajaan dan sebagainya.

Menurut pandangan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, secara umumnya, berdasarkan pemantauan dari semasa ke semasa DBP, nama program di majlis rasmi kerajaan masih menggunakan bahasa kebangsaan. Namun demikian, masih terdapat nama program dan majlis rasmi yang tidak mengutamakan bahasa kebangsaan sepenuhnya.

Hal ini sangat mendukacitakan dan tidak sewajarnya berlaku. Menurut beliau, nama program, inisiatif dan majlis rasmi di dalam negara tidak sesuai menggunakan bahasa asing sepenuhnya atau bahasa bercampur.

Peranan dan kuasa Dewan Bahasa dan Pustaka

Kredit gambar: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pelanggaran-bahasa-melayu-draf-pindaan-akta-bahasa-kebangsaan-beri-kuasa-dbp-bertindak-201919

Dewan Bahasa dan Pustaka ada mencadangkan pindaan Akta DBP (Akta 213). Akta ini dianggap sudah tidak sesuai digunakan kerana kali terakhir Akta ini dipinda pada tahun 1995, iaitu lebih 26 tahun yang lalu. Sehingga kini, Akta 213 merupakan sumber kuasa dan tadbir urus agensi tersebut. Menurut Ketua Pengarahnya lagi, pada masa ini, DBP dan panel peguam agensi tersebut sedang giat menyediakan draf pindaan akta ini, khususnya mengenai undang-undang kecil penguatkuasaan bahasa.

Setakat hari ini, DBP tidak memiliki sebarang punca kuasa bagi menjalankan sebarang tugas yang berkaitan dengan penguatkuasaan bahasa. Sekiranya pindaan Akta DBP yang dicadangkan tersebut mendapat kelulusan Parlimen, DBP akan mempunyai kuasa penguatkuasaan untuk mengambil tindakan termasuk penggunaan bahasa bercampur dalam program dan majlis rasmi kerajaan.

Kuasa itu kelak juga membolehkan DBP untuk memberikan pengiktirafan atau perakuan bahasa Melayu berdasarkan kerangka standard bahasa Melayu. Peranan yang sama dimainkan oleh agensi antarabangsa seperti Council of Europe yang mengawal selia standard bahasa Inggeris melalui Common European Framework of Reference (CEFR).

Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang perlu diutamakan sebagai wadah komunikasi. Selain daripada Perlembagaan, peranan tersebut diiktiraf melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971) dan Pemberitahu Undang-Undang No.410 Tahun 1967, memperuntukkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 bertajuk “Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam” yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam juga menunjukkan kepentingan isu ini. Maka, tentu sekali sebarang penyampaian dasar dan inisiatif rasmi oleh kerajaan wajib menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya.