Sebuah kapal pengangkut kontena MV Ever Given dilaporkan tersekat sewaktu melalui Terusan Suez. Kapal yang dimiliki oleh Evergreen Marine dan didaftarkan di Panama ini sedang berlayar dari China ke bandar pelabuhan Rotterdam di Belanda.

Kira-kira 12 jam yang lalu ketika kejadian, kapal ini difahamkan sedang menuju ke arah Mediterranean.

Antara kapal pengangkut kontena terbesar di dunia

Kredit gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Ever_Given#/media/File:EVER_GIVEN_(49643352087)_(cropped).jpg

Kapal MV (motor vessel) Ever Given merupakan salah satu daripada 153 kapal pengangkut kontena yang dimiliki oleh syarkat Evergreen Marine Corporation yang berpusat di Taiwan. Syarikat ini merupakan salah satu daripada syarikat pengangkutan kontena yang terbesar di dunia.

MV Ever Given merupakan satu daripada sebelas kapal golden-class dan siap dibina pada 25 September 2018 oleh syarikat Imabari Shipbuilding di Jepun. Kapal pengangkut ini bersaiz 400m-panjang (1,312 kaki) dan bersaiz lebar 59m.

Sekiranya kita bandingkan dengan saiz padang di Premier League iaitu 105m x 68m, kapal ini mempunyai saiz yang hampir dengan empat padang bola sepak!

Kesesakan trafik di Terusan Suez

Kredit gambar: Vessel Finder

Gambar di atas menunjukkan bagaimana MV Ever Given tersekat di Terusan Suez dan menyebabkan kapal-kapal lain tidak dapat meneruskan perjalanan mereka. Setiap hari, Terusan Suez sepanjang 193.30 km ini menerima kehadiran hampir 47 buah kapal.

Apabila MV Ever Given dilaporkan tersekat selama hampir 12 jam, berkemungkinan sebanyak 23 buah kapal sedang tersangkut di sana. 

Terusan Suez merupakan jalan pintas yang penting di dalam industri perkapalan dunia, selain daripada Terusan Panama. Terusan Suez mampu memendekkan jarak perjalanan kapal sebanyak 10,000 km, lebih 3,000 km berbanding Terusan Panama.

Apa yang akan berlaku sekiranya Terusan Suez terus tersekat?

Syarikat-syarikat perkapalan dunia sudah pasti perlu membayar harga bahan api yang lebih mahal apabila laluan ini tersekat. Dalam sekelip mata sahaja, harga bahan api dunia dijangka meningkat dek kerana kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung ini.

Selain itu juga, penghantaran barangan melalui kapal kontena juga akan mengambil masa yang lebih panjang daripada biasa.

Semoga Terusan Suez yang mendapat julukan “hadiah Mesir kepada dunia” ini dapat kembali berkhidmat kepada kita semua.

 

 

 

 

 

Sumber: