Francisco Hernandez mencipta nama di kejohanan ragbi 7 sebelah Sydney Sevens 2020 selepas bertindak meninggalkan rawatan kecederaannya sendiri untuk menjatuhkan pemain Jepun. Tindakan pemain ragbi Sepanyol ini sekaligus menafikan peluang Jepun untuk merapatkan kedudukan.

Dalam perlawanan penentuan tempat ke-13 itu, Jepun mendapat peluang terakhir menerusi larian Kazuma Nakagawa untuk merapatkan kedudukan. Pada ketika itu, separuh masa kedua hanya berbaki kurang 20 saat.

Ketika Nakagawa nampak hampir pasti dapat meloloskan dirinya untuk membuat try, Hernandez ada idea lain. Beliau yang pada ketika itu sedang menerima rawatan kecederaan kepala di atas padang meluru masuk semula ke padang dan melakukan tackle hebat yang tidak disangka-sangka Nakagawa.

Apa yang mengagumkan adalah walaupun sedang dirawat, Hernandez tetap fokus kepada perlawanan yang sedang berlaku. Kemudian beliau ‘mengorbankan’ diri beliau yang cedera untuk memastikan pasukannya menang.

Sebagai rekod, Sepanyol menang 14-7 ke atas Jepun dalam perlawanan ragbi 7 sebelah ini.

Dan ini juga bukan kali pertama Hernandez melakukan tackle baik sebegini. Beliau pernah menunjukkan keazamannya membuat tackle ketika menentang England dalam kejohanan Capetown Sevens 2019.

Dalam sukan ragbi, perlawanan tidak akan berhenti untuk memberi ruang kepada pemain cedera mendapatkan rawatan. Rawatan diberi di atas padang, bukannya tepi padang. Selepas rawatan diberi, fisio perlu cepat-cepat meninggalkan padang dan pemain perlu segera menyertai perlawanan. Ini bermakna, sesebuah pasukan akan berada dalam bahaya jika pemain mereka berpura-pura cedera.

Berbeza dengan bola sepak, ragbi mementingkan kelancaran perlawanan. Ia mempunyai banyak penalti dan peraturan yang menghalang perlawanan daripada dihentikan atau diperlahankan. Perlawanan hanya dihentikan jika ada kecederaan kepala atau leher.