Jika anda seperti kami, anda mesti pernah tertanya-tanya – bagaimana angkasawan ‘membuang air’ di angkasa lepas?
Terima kasih kepada angkasawan Itali Samantha Cristoforetti, kini soalan tersebut mempunyai jawapannya.
Menurut Cristoforetti, apabila angkasawan mahu membuang air di tandas, mereka perlu membuka pam. Pam ini sangat kuat bunyinya sehinggakan ia menjadi isyarat kepada semua angkasawan – apabila pam itu berbunyi, bermakna ada angkasawan yang sedang membuang air di tandas.
Untuk membuang air besar, angkasawan disediakan mangkuk tandas yang diliputi dengan beg plastik. Memandangkan kita tak boleh duduk di ruang angkasa lepas yang tiada graviti, angkasawan perlu memegang sesuatu supaya bahan tinja mereka dapat masuk betul-betul ke dalam plastik.
Sebelum mula buang air besar, pam perlu dihidupkan. Kemudian selepas selesai membuang air besar, plastik yang berisi bahan tinja tersebut perlu ditutup dan dimasukkan dalam bekas simpanan bahan tinja. Bekas simpanan ini biasanya akan ditukar baru setiap 10 hari.
Kemudian, angkasawan itu perlu meletakkan beg plastik baru di mangkuk tandas tersebut.
Untuk buang air kecil pula, prosesnya hampir sama seperti buang air besar.
Cuma bezanya, tiada beg plastik disediakan. Sebaliknya angkasawan perlu menghidupkan pam sebelum membuang air kecil sebelum membuang air kecil melalui sebuah corong yang disediakan.
Berbeza dengan bahan tinja air besar, air kencing akan dimasukkan ke UPA (urine processing assembly) untuk dikitar semula menjadi air minuman. Menarik, kan?