Dalam satu surat kajian awal yang diterbitkan di jurnal Emerging Infectious Diseases, sekumpulan saintis China menunjukkan bagaimana aircond (alat penghawa dingin) menjadi punca sembilan orang dijangkiti COVID-19.

Sembilan orang tersebut terdiri daripada tiga keluarga yang makan di meja bersebelahan pesakit COVID-19 yang ‘asymptomatic’ di sebuah restoran tidak bertingkap di Guangzhou pada Januari 2020.

Apa yang mengejutkan saintis China adalah jarak antara meja ketiga-tiga keluarga tersebut melebihi jarak 1 meter.

Mereka berpendapat angin dari aircond restoran itu bertanggungjawab meniup titisan air liur dari seorang pesakit COVID-19 tersebut ke arah sembilan orang berdekatan – walaupun jarak mereka dari pesakit melebihi 1 meter.

Surat kajian tersebut turut menunjukkan diagram insiden tersebut.

Pesakit COVID-19 yang asymptomatic adalah A1. A1 dilaporkan merupakan seorang wanita berusia 63 tahun. Beliau baru sahaja tiba dari Wuhan pada 23 Januari bersama-sama dengan A2 dan A4.

Sehari selepas balik dari restoran tersebut, A1 dikejarkan ke hospital.

Menjelang 5 Februari, sembilan pelanggan (empat ahli keluarga A, tiga ahli keluarga B dan dua ahli keluarga C) diuji positif COVID-19.

Saintis berpendapat aliran angin aircond yang kuat menyebabkan titisan air liur dari meja A, pergi ke meja B sebelum dialirkan ke meja C, seperti yang dipaparkan dalam gambar di bawah.

Penemuan ini memberi validasi kuat kepada keberkesanan arahan penjarakan sosial untuk menghalang penularan wabak COVID-19.

“Untuk menghalang penularan virus ini di restoran, kami menggalakkan pemilik restoran untuk menambah jarak antara meja dan memperbaiki aliran udara dalam restoran,” tulis mereka lagi.

Bagaimanapun dalam surat kajian sama, saintis China itu melaporkan 73 pelanggan dan 8 pekerja restoran yang turut berada di restoran pada hari sama kejadian tersebut berlaku, tidak dijangkiti.

Pakar kesihatan menjangkakan jika restoran perlu dibuka selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beberapa peraturan baru perlu dikuatkuasakan seperti:

  • Pelanggan yang mahu makan di restoran ada had masa
  • Restoran tidak boleh dipenuhi ramai orang
  • Aircond kena tutup
  • Semua pekerja kena pakai topeng muka

Baca juga artikel kami yang lain:

Sumber: