Sos cili Lingham’s bukanlah makanan yang asing dengan rakyat Malaysia. Ia juga merupakan sos pilihan bagi rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara kerana ianya mudah didapati di seluruh dunia. Namun begitu, sejarah asal resepinya kurang mendapat perhatian.

Pada hari ini, sos cili Lingham’s mendapat tempat di seluruh dunia. Laporan menunjukkan, ia lebih banyak terjual di United Kingdom berbanding negara asalnya, Malaysia.

Dan sehingga hari ini, nasib pemilik asal resepi asal sos tersebut, seorang buruh dari India yang datang ke Pulau Pinang langsung tidak diketahui umum.

Legasi resepi Lingham sejak 1900

Kredit gambar: https://rojakdaily.com/lifestyle/article/1691/lingham-s-malaysia-s-most-successful-yet-underrated-chili-sauce

Penciptaan resepi sos lagenda ini bermula sejak seabad yang lalu. Seorang buruh bernama Lingham yang bekerja dengan Syarikat India Timur Inggeris (East India Company) menghasilkan sos daripada beberapa bahan asas segar seperti cili merah, cuka, gula dan garam.

Tanpa sebarang bahan pengawet dan pewarna tiruan, sos cili Lingham’s ini pantas menjadi kegilaan oleh rakyat British yang tinggal di sekitar Pulau Pinang pada waktu itu. Rasa masam dan manis yang padu tersebut menjadi pelengkap kepada menu bangsa Eropah.

Biarpun cili dikenali dengan rasa yang pedas, keseimbangan cuka di dalam sos Lingham’s dan ditambah dengan penggunaan cili segar menjadikan rasa pedas tersebut seakan-akan hilang. Ia juga menggunakan cili merah yang segar berbanding cili padi yang mempunyai lebih rasa pedas.

Biarpun tanpa sebarang pegawet, sos ini mampu bertahan walaupun tidak disimpan di dalam peti sejuk.

Resepi sos dijual untuk pulang ke kampung halaman

Kredit gambar: Kredit gambar: https://rojakdaily.com/lifestyle/article/1691/lingham-s-malaysia-s-most-successful-yet-underrated-chili-sauce

Sos cili ini dikatakan lebih digemari oleh masyarakat Cina kerana mereka tidak mempunyai ketahanan terhadap rasa pedas seperti masyarakat Melayu dan India. Lingham kemudiannya menubuhkan Syarikat Lingham & Sons pada tahun 1908 dan berjaya menjual sos tersebut sehingga tamatnya Perang Dunia Kedua.

Sos tersebut dikatakan begitu terkenal sehingga menjadi sebahagian daripada rangsum (ration) bagi tentera British semasa Perang Dunia Kedua. Tradisi tersebut masih lagi kekal sehingga hari ini.

Selepas Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945, Lingham sangat rindu akan kampung halaman di India. Beliau akhirnya bersetuju untuk menjual resepi sos ini kepada Ooi Choo Hong, seorang kerani di syarikat perniagaan British, Henry Waugh Co. Ltd.

Atas penjualan resepi tersebut, beliau diberikan kebenaran untuk berlayar pulang ke kampung halamannya. Kerana rasanya yang sudah terkenal, Ooi akhrinya mengekalkan nama Lingham’s pada sos tersebut. Sehingga hari ini, nasib sebenar Lingham tidak diketahui oleh sesiapa.

Lebih banyak terjual di seluruh dunia berbanding di Malaysia

Kredit gambar: https://foodmsia.com/2013/06/linghams-chilli-sauce-convoy/

Dalam rangka lawatannya ke Malaysia pada tahun 1972, Ratu Elizabeth pernah menghadiri ekspo perniagaan di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang. Baginda turut melawat gerai Lingham & Son dan berkenan untuk membawa pulang sekotak sos cili tersebut yang amat terkenal di United Kingdom.

Pada tahun 2008, laporan menunjukkan sos cili Lingham’s hanya memegang sekitar 3 peratus daripada pegangan pasaran sos cili tempatan. Namun begitu, 3/4 daripada keluaran sos tersebut sebenarnya memfokuskan kepada pasaran eksport dan lebih banyak terjual di luar Malaysia.

Di Amerika Syarikat, sos cili Lingham’s mudah didapati di Stater Brothers di California dan rangkaian pasar besar Kruger di Texas. Buat masa ini, sos cili Lingham’s terjual di 20 buah negara di seluruh dunia. Di United Kingdom, ia boleh didapati di rangkaian pasar besar Tesco dan Harrods manakala di Australia, rangkaian pasar raya Coles ada menjual sos cili ini.

Ia juga terjual di banyak negara Eropah seperi Denmark dan Finland, selain di Kanada, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Kenya, Chili, Ukraine and Afrika Selatan. Syarikat Lingham’s & Son (Malaysia) Sdn Bhd telah diperbadankan pada tahun 1971 dengan pemilik yang silih berganti. Kini syarikat tersebut dimiliki oleh Biz-Allianz International dengan kilangnya telah berpindah ke Selangor dari kilang asalnya di Pulau Pinang.