Selepas merekodkan kerugian berturut-turut sebanyak RM18.633 bilion, akhirnya LG Corp menutup tirai perniagaan telefon pintar mereka. Konglomerat elektronik dari Korea Selatan ini telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran untuk mempertahankan sektor perniagaan ini. Pada tahun 2013, mereka pernah berada di kedudukan ketiga di belakang Apple dan Samsung namun pada tahun lalu, hanya sekitar 28 juta unit telefon mereka terjual.

Sebagai perbandingan mudah, Samsung berjaya menjual 235 juta telefon pintar sepanjang tahun 2020 manakala Apple pula dengan jualan sebanyak 200 juta unit.

Bermula sebagai pengeluar radio pertama di Korea Selatan

Kredit gambar: https://artsandculture.google.com/asset/gold-star-a-501-the-first-radio-assembled-in-korea-gold-star/XAFGiJy6ZGCqYQ?

Syarikat LG bermula pada tahun 1947 oleh Koo In-hwoi dengan nama Lak Hui Chemical Industrial Corp. Lak Hui yang disebut sebagai “Lucky” melebarkan sayap perniagaan mereka terhadap industri plastik seawal tahun 1952. Kemudian, GoldStar ditubuhkan oleh Koo untuk memenuhi permintaan terhadap barangan elektronik pada tahun 1958.

GoldStar berjaya mencipta radio pertama Korea Selatan hanya setahun kemudian, iaitu pada tahun 1959. Lak Hui Chemical Industrial Corp (kini LG Chem) dan GoldStar Co. Ltd. (kini LG Electronics Inc.) digabungkan pada tahun 1983. GoldStar kemudiannya mendominasi segmen perkakasan elektrik di Korea Selatan bersama-sama dengan Lucky sehingga perletakan jawatan Koo In-hwoi pada tahun 1970.

Koo Cha-kyung, anak kepada Koo In-hwoi mengambil alih pimpinan syarikat daripada bapanya sehingga tahun 1995. Kemudiannya, Koo Bon-moo yang merupakan anak kepada Cha-kyung dan juga cucu kepada In-hwoi pula menjadi Ketua Pegawai Eksekutif.

Koo Bon-moo menggabungkan kedua-dua syarikat Lucky dan GoldStar menjadi LG dengan menggunakan slogan Life’s Good. Nama itu kekal sehingga hari ini.

Struktur konglomerat LG dan masalah perniagaan telefon pintar

Kredit gambar: https://scnow.com/ap/business/article_69ac9437-fbb4-5902-9026-048ebbb6245e.html

LG Corp merupakan induk utama kepada 30 syarikat lain yang bernaung di bawah konglomerat ini. Terdapat beberapa kumpulan perniagaan utama di dalam LG Corp seperti elektronik, telekomunikasi dan juga industri kimia.

Pembuatan telefon pintar merupakan sektor paling kecil di dalam LG Corp dengan hanya menyumbang 7.4 peratus daripada keseluruhan perolehan kumpulan. Kerugian demi kerugian secara tidak langsung menyebabkan keputusan ini diambil.

Secara keseluruhannya, LG Corp mencatatkan keuntungan sebanyak RM233 bilion pada tahun 2020, hanya RM89 bilion kurang daripada belanjawan Malaysia 2021.

Masalah sektor pembuatan telefon pintar bagi LG adalah disebabkan masalah perisian dan perkakasan mereka yang saban tahun tidak mampu menandingi pengeluar-pengeluar lain. Industri telefon pintar yang sangat kompetetif dan ditambah dengan harga jualan mereka yang premium menyebabkan LG terus ketinggalan.

Fokus seterusnya bagi LG Corp

Kredit gambar: https://in.mashable.com/tech/12498/samsung-xiaomi-lg-vivo-and-oppo-temporarily-suspend-india-operations-over-coronavirus-fears

Beberapa persoalan timbul selepas pemain besar industri seperti LG meninggalkan padang perlawanan. Adakah mereka akan kembali di dalam bentuk teknologi yang berbeza?

Persoalan ini segera dijawab oleh kenyataan media mereka. LG akan memfokuskan kepada teknologi 6G dan bandar pintar di mana telekomunikasi akan memainkan peranan penting. Selain itu juga, LG tidak akan memberhentikan mana-mana pekerja sektor ini dan mereka akan diberikan tugasan baru, sesuai dengan kepakaran mereka.

Telefon pintar yang telah dijual akan terus menerima sokongan teknikal perisian dan perkakasan daripada LG. Malah kesemua stok yang telah dikeluarkan oleh kilang akan terus dijual seperti biasa dengan sokongan jaminan yang sama.

 

Sumber: