Bukan sahaja kena hina gara-gara hanya memiliki sebuah kereta Proton Saga lama, pemuda ini turut dipandang rendah kerana tidak memilih untuk menjadi peguam selepas tamat pengajiannya.

Lebih menyedihkan, kata-kata itu keluar daripada mulut saudara terdekat ketika majlis pengebumian bapanya, tiga tahun lalu.

Itulah pengalaman yang tidak dapat dilupakan Anas Abdul Rahim sehingga hari ini.

Kisah itu dikongsi pemuda berusia 34 tahun itu dalam satu bebenang di Twitternya sehingga menjadi tular.

https://twitter.com/twtanas/status/1258963761529937920

Menurut Anas, dia terpanggil untuk berkongsi kisah itu selepas terlihat satu tweet seakan-akan sama dengan pengalamannya sendiri.

“Saya tweet tu pun sebab ternampak satu quote seorang pemuda yang dihina saudara sendiri kerana jadi petani.

“Jadi saya hanya meluahkan apa yang terbuku di hati. Sebelum ni saya tak cerita dekat orang, hanya adik-beradik yang tahu.

“Ni kiranya saya share dekat public dan tak expect pun tweet tu akan blow up,” katanya kepada mStar.

Jelas anak sulung daripada lima beradik itu, perasaannya ketika itu sukar diungkapkan dengan kata-kata dan dia hanya mampu bersabar dengan umpatan-umpatan tersebut.

“Mereka kata lawyer lain pakai kereta mahal-mahal tapi saya hina sebab pakai Proton Saga je. Saya graduate tapi lepas tu pilih untuk berniaga. Tu sebab kena kecam sebab mereka nampak pilihan hidup saya tu tak ada masa depan.

“Waktu tu kita tengah sedih ayah dimasukkan ke dalam liang lahad, mereka di belakang pula mengumpat macam-macam.

“Perasaan masa tu hanya Allah saja yang tahu. Marah, sakit hati semua ada. Tapi saya sabar jelah mengenang masa tu majlis pengebumian arwah ayah.

“Saya sebenarnya ambil jurusan undang-undang di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Waktu pengebumian ayah saya tu, mereka cakap saya lawyer yang loser.

Meskipun mengusahakan pelbagai perniagaan, Anas mengakui dia masih menggunakan kereta pemberian arwah bapanya itu.

“Kereta tu ada nilai sentimental dalam diri saya sebab pemberian arwah ayah. Dia belikan pada 2009 sewaktu saya sambung pengajian di UIAM.

“Sampai sekarang saya masih guna kereta tu. Itu satu-satunya kereta yang saya ada. Lagipun kereta tu elok lagi, masih boleh pergi ke KL sampailah Kuala Terengganu.

“Tak ada keperluan untuk saya ada dua, tiga biji kereta. Selagi elok pakai jelah. Buat apa nak puaskan mata orang lain,” katanya.

Malah pemuda dari Permatang Pauh, Pulau Pinang itu berkata dia turut menggunakan kereta yang sudah berusia 11 tahun itu untuk melakukan kerja amal.

“Alhamdulillah banyak bakti kereta tu. Dengan kereta Proton Saga yang sama, saya dan adik-beradik membantu keluarga yang memerlukan.

“Kereta tu antara yang digunakan untuk angkut bekalan makanan sebelum diagihkan kepada penduduk sekitar kawasan Mak Mandin, Pulau Pinang,” katanya yang turut mengusahakan kebun getah, ladang kelapa sawit dan juga bendang.

Perkongsian Anas turut mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Rata-rata berpendapat kereta tidak melambangkan kejayaan seseorang.

“Kalaulah jenama atau material yang melambangkan kekayaan seseorang, ex bos aku (owner architecture firm) tak delah pakai Myvi lama. Kereta kancil yang dah lebih 11 tahun pun kadang dia pakai bawa pi kerja. Sangat rendah diri, sampai sekarang aku keep in touch dengan company dia,” tulis Athena.

Lecturer aku Dr ada PhD. Still pakai Kancil datang universiti. Tak leh rileks orang macam ni,” kata Tokabahtabah.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan:

Sumber: