Ketika artikel ini sedang ditulis, Australia dan New Zealand sedang membincangkan kemungkinan membentuk sebuah gelembung perjalanan antara mereka. China pula sedang berkira-kira untuk membenarkan Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan dalam gelembung perjalanan mereka.
Manakala Israel sedang berbincang dengan Greece dan Cyprus untuk membentuk gelembung perjalanan mereka sendiri.
Estonia, Latvia dan Lithuania pula sudah berjaya membentuk gelembung mereka sendiri. Ini bermakna sempadan ketiga-tiga negara ini telah dibuka – tetapi hanya utuk pengunjung dari tiga negara ini sahaja.
Kini pihak berkuasa di Lapangan Terbang Heathrow di London pula mengesyorkan kepada kerajaan Britain supaya gelembung sama dibuat untuk England, Scotland, Wales dan Ireland Utara.
Boleh dikatakan negara-negara seluruh dunia ketika ini sedang berkira-kira untuk membuka semula sempadan antarabangsa mereka ketika wabak COVID-19. Caranya adalah dengan membuat gelembung perjalanan (travel bubble) atau kadangkala dipanggil sebagai ‘koridor perjalanan’.
Apa itu gelembung perjalanan?
Konsepnya cukup mudah. Dua atau lebih negara yang berjaya menangani wabak COVID-19 bersetuju untuk mencipta gelembung.
Rakyat negara yang duduk dalam gelembung sama boleh masuk keluar sempadan negara secara bebas tanpa melalui syarat mandatori kuarantin kendiri selama 14 hari.
Perlaksanaan gelembung perjalanan ini dapat meminimumkan kelecehan orang yang perlu ke luar negara (atas urusan kerja dan sebagainya).
Pada 14 Mei lepas, Estonia, Latvia dan Lithuania telah membuka sempadan negara mereka sesama sendiri untuk membentuk gelembung perjalanan Baltic.
Sebab utama mengapa pemimpin ketiga-tiga negara ini mewujudkan travel bubble mereka sendiri adalah, tak lain tak bukan, untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Dengan travel bubble, syarikat perniagaan ketiga-tiga negara ini dapat beroperasi secara normal semula.
Pelancong dari luar travel bubble Estonia, Latvia dan Lithuania pula perlu menjalani proses kuarantin kendiri selasam 14 hari.
Australia dan New Zealand pula ketika ini mungkin akan merancang untuk membentuk ‘Trans-Tasman bubble‘.
Rakyat kedua-dua negara ini boleh berkerja di kedua-dua negara tanpa visa. Jumlah transaksi perniagaan dan pelancongan antara kedua-dua negara juga tinggi.
Kejayaan Asutralia dan New Zealand dalam mengekang wabak COVID-19 terletak kepada kepantasan kerajaan negara mereka menutup sempadan antarabangsa mereka pada bulan Mac.
Walaupun Australia dan New Zealand belum mengumumkan bila mereka akan melaksanakan travel bubble mereka, pakar polisi meramalkan ia mungkin boleh dilaksanakan seawal Ogos.
Ketika ini kedua-dua negara sedang hanya membenarkan penerbangan domestik sahaja. Kuarantin kendiri selama 14 hari pula diwajibkan kepada semua pengunjung antarabangsa.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern nyata amat berhati-hati dengan cadangan membentuk gelembung perjalanan.
“Sudah tentulah fokus utama kita sekarang adalah emmastikan negara kita boleh menangani kes COVID-19 sehingga kita boleh jadi yakin untuk buka sempadan.
“Tapi sehingga itu, saya takkan perjudikan nasib New Zealand dengan membuka sempadan antarabangsa terlalu awal – walaupun kepada Australia.”
Sementara itu Asia Times melaporkan Beijing sedang merangka perancangan untuk memasukkan Taiwan, Hong Kong, Macau dan Korea Selatan dalam travel bubble mereka. Times of Israel pula melaporkan Israel merancang dengan Greece dan Cyprus.
Pengurusan Lapangan Terbang Heathrow London juga mencadangkan perkara sama kepada kerajaan United Kingdom. Ia adalah untuk mengelak impak ekonomi yang lebih teruk berikutan penguatkuasaan peraturan kuarantin kendiri selama 14 hari yang bermula Jun 2020.
“Cadangan travel bubble atau travel corridors ini membolehkan pergerakan antara negara yang rendah risikonya, dan menghalang penerbangan dari negara yang tinggi risikonya untuk menjaga kesihatan orang awam,” jelas pengurusan Lapangan Terbang Heathrow dalam satu kenyataan.
Wajarkah Malaysia buat gelembung perjalanan dengan jiran ASEAN?
Ketika ini, masih tiada cakap-cakap mengenai perlaksanaan gelembung perjalanan daripada kerajaan.
Kerajaan melaksanakan dua tatacara pengendalian piawai (SOP) bagi mengawal penularan COVID-19 yang membabitkan penerbangan antara negeri dan juga antarabangsa.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagi penerbangan antarabangsa, kerajaan mewajibkan penumpang yang tiba ke tanah air untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.
Peraturan itu turut dilaksanakan di Sabah dan Sarawak bagi semua penumpang pesawat sama ada penerbangan antarabangsa atau domestik dari Semenanjung.
“Kita benarkan pesawat terbabit membawa kapasiti penuh (penumpang) kerana mereka akan diarahkan menjalani kuarantin wajib apabila sampai.
“Katakan pesawat itu dari United Kingdom (UK) dengan kapasiti penuh dan tiada penjarakan sosial dalam pesawat, tapi (penumpang) wajib kuarantin bila tiba di negara,” katanya dalam sidang media pada 14 Mei.
Ismail berkata, bagi penerbangan domestik, kerajaan menetapkan jumlah penumpang dibenarkan adalah 66.4 peratus daripada kapasiti penuh untuk mematuhi penjarakan sosial dalam pesawat.
Tetapi hakikat bahawa vaksin COVID-19 mungkin akan mengambil masa (kira-kira setahun) untuk siap mungkin lambat-laun akan membuatkan kerajaan perlu berfikir strategi seterusnya untuk merangsang ekonomi: melaksanakan gelembung perjalanan.
Calon paling jelas untuk kita laksanakan idea ini adalah Singapura, Vietnam dan Thailand. Ketiga-tiga negara ini, bersama dengan Malaysia, boleh dikatakan menerajui ASEAN dalam segala aspek mengawal penukaran COVID-19.
Indonesia tidak disyorkan kerana jumlah ujian saringan per populasi mereka yang jauh lebih sedikit berbanding Malaysia, Singapura, Vietnam dan Thailand.
Tinjauan pendapat yang dilakukan oleh stesen radio BFM pula mendapati 41% rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan perlaksanaan gelembung perjalanan di ASEAN.