Republik Singapura sedang mempertimbangkan untuk membuka semula sempadan negara itu secara berperingkat.

Menteri Kesihatan Singapura, Gan Kim Yong melalui Kenyataan Kementerian di Parlimen berkata langkah itu akan bermula secara kecil dan selektif.

Dalam masa yang sama, syarat-syarat pengasingan dan ujian akan diteruskan bagi mengelakkan negara itu daripada kes import baharu yang berisiko menular dalam komuniti.

Banyak faktor dan indikator perlu diteliti dalam perancangan pembukaan sempadan yang merupakan sebahagian langkah diambil kerajaan Singapura sebagai pemutus rantaian (Circuit Breaker) yang lebih ketat.

“Kami perlu membuat penilaian situasi secara global dan bagi setiap negara, untuk memaklumkan sejauh mana dan pendekatan dalam pembukaan semula sempadan kami.

“Kami akan mengkaji kadar jangkitan di negara lain dan langkah yang mereka ambil bagi membendung penularan wabak itu,” katanya.

Kesesakan di Tambak Johor pada waktu puncak

Singapura merekodkan sejumlah kes import pertamanya pada 23 Jan dan daripada jumlah keseluruhan kes yang dicatat setakat Ahad lalu iaitu sebanyak 18,205, Singapura mengenal pasti 579 atau hanya 3.18 peratus sebagai kes import.

“Kami perlu yakin bahawa jangkitan komuniti secara tempatan telah dapat dibendung atau amat rendah. Kes komuniti hendaklah secara ideal jatuh ke tahap sifar atau satu digit setiap hari, dengan jumlah kes tidak berkaitan yang amat sedikit, dan bukan hanya bagi tempoh sehari sebaliknya berlanjutan bagi jangka masa tertentu.

“Meskipun kami dapat memastikan kes komuniti tempatan berada pada tahap rendah biarpun berdepan jumlah kes yang tinggi dalam kalangan pekerja migran, adalah penting bagi mengurangkan kes pekerja migran dari semasa ke semasa walaupun ia akan memakan masa yang lebih lama.”

“Jika tidak, Singapura akan terus berdepan risiko limpahan jangkitan dari asrama pekerja asing ke dalam kalangan penduduk secara lebih meluas,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Beberapa rakyat Malaysia yang bertugas sebagai petugas kesihatan di negara jiran itu adalah sebahagian daripada 66 kes yang dijangkiti wabak COVID-19 dalam kalangan petugas penjagaan kesihatan di Singapura. 46 kes daripadanya melibatkan kontak langsung dengan pesakit yang sedang menerima rawatan.

Baca juga artikel menarik lain yang berkaitan COVID-19:

Sumber: