Perpindahan ibu negara bukan sesuatu yang baru bagi negara-negara membangun di Asia Tenggara. Pada tahun 2003, negara kita memindahkan pusat pentadbiran dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Begitu juga dengan Myanmar yang memindahkan ibu negaranya ke Nypyidaw pada tahun 2006.
Pada tahun 2019, Presiden Joko Widodo mengumumkan bahawa ibu negara Indonesia iaitu Jakarta akan berpindah. Kawasan yang dipilih bagi perpindahan ibu negara tersebut adalah di Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara di Kalimantan Timur.
Perpindahan tersebut bakal dibuat berikutan kesesakan yang tidak lagi boleh diatasi di Jakarta. Selain itu juga, laporan kaji cuaca menunjukkan bandar raya tersebut semakin tenggelam. Perpindahan ini bakal mengurangkan kebergantungan Indonesia kepada Pulau Jawa. Hampir 50 peratus pembangunan ekonomi dan sosial di Indonesia tertumpu di sana.
Semalam, Menteri Perancangan Pembangunan Indonesia, Suharso Monoarfa pula mengumumkan nama bagi ibu negara baharu tersebut. Ia bakal menggunapakai nama Nusantara.
Pemilihan nama oleh Presiden
Pemilihan nama Nusantara sebenarnya memperlihatkan satu kontradiksi kepada generasi baharu. Kamus Dewan menterjemahkan terma Nusantara sebagai Kepulauan Melayu. Suatu ketika dahulu, gugusan pulau-pulau ini dipanggil sebagai Nusantara.
Menurut Indonesia pula, terma Nusantara sudah dikenal sejak sebelum era kemerdekaan. Selain itu juga, terma tersebut sangat ikonik di kancah antarabangsa.
Maka, terma tersebut adalah tepat bagi menggambarkan keragaman sekaligus keadaan geografi sebenar bagi Republik Indonesia. Nama Nusantara telah dipilih sendiri oleh Presiden Joko Widodo pada hari Jumaat yang lalu.
Nama-nama cadangan lain
Sebelum nama Nusantara dipilih, pihak berkuasa Indonesia mengadakan pelbagai perbincangan dan mesyuarat. Pakar sejarah, geografi, bahasa dan undang-undang telah dijemput bagi membahaskan cadangan-cadangan nama lain yang dirasakan sesuai.
Berdasarkan laporan media, berikut merupakan nama-nama cadangan bagi ibu negara baharu tersebut:
- Negara Jaya
- Nusantara Jaya
- Nusa Karya
- Nusa Jaya
- Pertiwipura
- Warnapura
- Cakrawalapura
- Kertanegara
Akhirnya, Nusantara dipilih dengan menggugurkan ‘jaya’ di belakangnya. Pihak pembangkang di Indonesia pula menolak pemilihan nama Nusantara. Nama tersebut dianggap terlalu ikonik dan mampu menenggelamkan nama Indonesia sendiri.
Mula beroperasi pada tahun 2024
Nusantara bakal beroperasi sebagai ibu negara pada tahun 2024. Ketika ini, projek pembangunan kawasan tersebut yang dianggarkan bernilai RM143 bilion sedang giat dijalankan.
Apabila siap kelak, ia bakal mengubah Kalimantan buat selama-lamanya. Kawasan yang sebelum ini serba mundur bakal dilengkapi dengan fasiliti dan kemudahan terbaik dan tercanggih.
Kawasan seluas 256 ribu hektar itu bakal dibangunkan dengan pejabat pentadbiran berkonsepkan smart city. Biarpun begitu, hanya 20 peratus kawasan tersebut bakal dibangunkan sebagai kawasan pentadbiran. Baki 80 peratus lagi akan dikekalkan sebagai zon hijau, kawasan komersil serta perumahan.