Sistem perbankan dianggar mengalami jumlah kerugian pengubahsuaian hari pertama laporan perakaunan Malaysia (IFRS 9) sebanyak RM6.4 bilion sepanjang tempoh moratorium selama enam bulan. Itu implikasi yang ditanggung oleh sektor perbankan ekoran daripada pelaksanaan moratorium selama enam bulan semasa Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun lalu.

Jumlah anggaran ini dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat bertarikh 27 Julai 2020.

Adakah gaji CEO-CEO bank di Malaysia terkesan selepas moratorium dilaksanakan?

Kenaikan gaji sebanyak lebih sepuluh peratus kepada tiga CEO

Kredit gambar: https://www.riverwalkvillage.com.my/maybank

Menurut laporan The Malaysian Reserve, Presiden dan CEO Malayan Banking Bhd (Maybank) Datuk Abdul Farid Alias menerima pendapatan sebanyak RM9.4 juta pada tahun 2020, meningkat sebanyak 10.2 peratus. Pada tahun 2019, gaji dan imbuhan yang diterima oleh beliau adalah berjumlah RM8.43 juta, menurut laporan tahunan terbaru yang dikeluarkan oleh Maybank.

CEO AMMB Holdings Bhd (AmBank) Datuk Sulaiman Mohd Tahir pula mendapat kenaikan pendapatan sebanyak 58 peratus bagi tahun 2020. Pada tahun 2020, beliau menerima gaji dan imbuhan sebanyak RM6.64 juta berbanding tahun 2019 sebanyak RM4.2 juta.

Pengarah Kumpulan dan CEO Hong Leong Bank Bhd Domenic Fuda juga menerima kenaikan sebanyak 11.7 peratus bagi pendapatannya untuk tahun 2020. Tahun lalu, Domenic menerima pendapatan sebanyak RM17.13 juta berbanding RM15.34 juta pada tahun 2019. Jumlah pendapatan ini termasuklah gaji, bonus, elaun dan sumbangan kepada plan persaraan serta imbuhan-imbuhan lain.

CEO yang menerima pengurangan gaji

Kredit gambar: https://www.theedgemarkets.com/article/alliance-bank-profit-rose-36-2q20-led-investment-income-jump

Menurut laporan yang sama, hanya seorang CEO yang dilaporkan menerima pemotongan gaji. CEO Alliance Bank Malaysia Bhd, Joel Kornreich menerima pengurangan sebanyak 11.5 peratus daripada pendapatannya berbanding tahun 2019.

Pada tahun 2019, pendapatan Joel adalah sebanyak RM10.6 juta, berbanding tahun 2020 sebanyak RM9.5 juta.

Ini juga mungkin berikutan untung bersih bagi Kumpulan Alliance Bank Bhd yang turun bagi tahun 2020 sebanyak RM424 juta berbanding untung bersih pada tahun 2019 iaitu RM537 juta.

Apabila kita soroti juga laporan-laporan tahunan bank di Malaysia, keuntungan bank sememangnya berkurangan sepanjang tempoh enam bulan pelaksanaan moratorium pinjaman, namun tidak sampai tahap mengalami kerugian.