Semakin ramai lelaki yang botak tengah mula mendapatkan rawatan rambut supaya rambut jadi lebat macam di poster kedai gunting rambut hipster.

Seperti wanita, lelaki juga takut dianggap lebih tua berbanding umur sebenar. Mempunyai rambut botak tengah adalah cara paling senang untuk seseorang lelaki dianggap tua berbanding umurnya.

Rawatan rambut adalah perkara terakhir yang lelaki muda fikirkan jika mempunyai rambut lebat. Tapi ia adalah benda yang kerap difikirkan oleh lelaki muda yang mula mengalami keguguran rambut sehingga mendapat male pattern baldness (botak tengah) seperti rambut pak cik-pak cik.

Inilah yang dilakukan oleh Travis Smith apabila mula rambutnya mula botak tengah sejak usia 32 tahun.

Melabur besar untuk rawatan botak tengah

Travis Smith mendapatkan rawatan tersebut di sebuah studio di Los Angeles, California yang bernama PhilDoesHair yang dimiliki oleh pendandan rambut Phil Ring.

Dalam rawatan tersebut, rambut di bahagian tengah kepala Smith dicukur licin. Kemudian Ring meletakkan sejenis gam khas (jenama Ghost Bond) sebelum meletakkan toupee (rambut palsu) di kawasan yang dicukur licin itu.

Selepas itu Ring mengemaskan rambut palsu yang baru dilekatkan di atas kepala Smith. Kemudian barulah Ring merawat keseluruhan rambut Smith dengan syampu dan pelembut sebelum mendandankannya.

Hasilnya rupa Smith kelihatan berbeza! Tak keterlaluan untuk kita cakap Smith nampak jauh lebih kacak dengan rambut barunya.

Menurut maklumat yang kami dapat, Smith melabur kira-kira USD1,500 (RM6,432) untuk mendapatkan toupee.

Kemudian, Smith membayar USD150 (RM643) untuk servis bulanan untuk proses penyelenggaraan (tukar gam baru) dan lagi USD60 (RM257) untuk mendapatkan syampu dan pelembut khas.

Setiap 6-10 bulan (bergantung kepada keadaan toupee di atas kepala), Smith perlu menukar toupee baru. Ini bermakna dalam masa setahun, Smith memerlukan sekurang-kurangnya dua toupee.

Ramai lelaki botak tengah nak rambut lebat

Smith tidak keseorangan. Berdasarkan hantaran Phil Ring di akaun Instagram studionya, sudah ramai lelaki mendapatkan rawatan seperti Smith.

Ada yang tak suka

Disebalik ribuan reviu yang positif, ada juga lelaki botak tengah tidak sukakan rawatan ini setelah mendapatkannya (bukan dengan studio PhilDoesHair).

Di Reddit, seorang lelaki menjelaskan kegatalan kepalanya selepas digam dengan toupee menjadi punca dia tak jadi meneruskan rawatan tersebut.

“Seronoknya seminggu sahaja, tapi gatalnya lama. Saya buat rawatan ini 25 tahun lepas di studio Hari Club for Men dan hanya bertahan 6 bulan sahaja. Setiap bulan saya kena guna 3 jenis syampu dan pelembut yang berbeza.

“Setiap bulan, kena tukar gam baru. Lepas tukar gam baru, kepala saya mesti gatal-gatal. Akhirnya selepas 6 bulan, saya bangun dari tidur pukul 3 pagi dan potong sendiri toupee tersebut. Kepala saya dah tak gatal dah sampai sekarang.”

Seseorang lagi lelaki berkata:

“Saya hanya bertahan seminggu. Lepas buat rawatan, saya banyak dapat pujian. Tapi ianya sangat tak selesa dan susah nak jaga.”

Menurut statistik sebanyak 50% lelaki di Malaysia akan botak tengah pada bila-bila masa sepanjang umur mereka.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: