Pelakon yang juga ahli perniagaan, Datuk Boy Iman, 40, diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berkuat kuasa hari ini.
Pengisytiharan muflis itu diputuskan mahkamah berikutan kegagalan Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman selaku penghutang penghakiman melunaskan tuntunan lebih RM60,000 dibuat seorang individu pada pertengahan tahun lalu.
Peguam, Hizri Hasshan yang mewakili pemiutang penghakiman selaku pihak yang memfailkan tuntutan memaklumkan bahawa Boy Iman menerusi syarikatnya, DBI Technology Sdh Bhd ada melancarkan program pembinaan rumah mampu milik dikenali DBI Homes sekitar 2017 lalu.
“Anak guam kami menyertai program itu untuk pembinaan rumah jenis Ilham dengan kos sebanyak RM50,000. Malah, pembayaran penuh dibuat anak guam.
“Pembinaan rumah itu sepatutnya siap dalam tempoh enam bulan, namun projek akhirnya tidak menjadi dan pemiutang penghakiman yang menyedari sudah ditipu mahu membatalkan kontrak dan meminta Boy Iman membuat pemulangan wangnya semula.
“Namun, pihak Boy Iman terus mendiamkan diri dan anak guam kami mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut haknya serta pembelaan ke atas diri sendiri kerana menjadi mangsa ‘scam’,” katanya.
Menurut Hizri, tuntutan kes yang berlangsung dari 2019 itu akhirnya dapat diselesaikan hari ini apabila mahkamah memutuskan Boy Iman diisytihar muflis.
Katanya, prosiding guaman sivil sudah dilakukan dalam tempoh itu dan pihak Boy Iman gagal membuat pembelaan diri terhadap tuntutan dibuat.
Sehubungan itu, prosiding kebankrapan difailkan terhadap Boy Iman.
Hizri turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam sebarang keputusan mahu dibuat membabitkan kewangan supaya tidak menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.
Tentang DBI Homes
DBI Homes adalah sebuah projek perumahan yang dilancarkan tahun 2017 yang dibina oleh DBI Technology Sdn Bhd yang dimiliki oleh Boy Iman.
DBI Homes mendakwa menggunakan teknologi Industrial Building System (IBS) dan menjual seunit harga rumah binaan mereka pada harga antara RM120,000 hingga RM235,000.
Pada hari pelancaran projek perumahannya pada April 2017, syarikat Boy Iman menawarkan harga promosi sebanyak RM50,000 sahaja kepada 120 pembeli pertama bagi setiap unit DBI Homes yang ditempah sepanjang bulan tersebut.
Tawaran itu adalah khas buat rumah DBI Homes dengan keluasan 1000 kaki persegi dengan 3 bilik tidur, 2 bilik air, 1 ruang tamu dan 1 dapur.
Keistimewaan lain yang turut diberikan kepada pembeli-pembeli bertuah ini adalah yuran guaman percuma, penapis air, penghawa dingin, medic spa shower dan coating lantai.
Selain dari itu, khidmat hiasan dalaman dan landskap pada harga mampu milik turut diberikan. DBI Technology juga turut menyediakan perkhidmatan jual beli tanah, urusan pinjaman (loan) serta perkhidmatan PBT.
Bagaimanapun sekitar September 2017, laman Facebook PW Community mendakwa pelakon dan usahawan Datuk Boy Iman cuba melakukan penipuan penjualan rumah melalui syarikat DBI Homes.
Dalam statusnya PW Community mendakwa, DBI cuba mengutip dana untuk menipu orang awam dengan menggunakan helah menjual rumah berharga semasa RM200,000 pada harga RM50,000.
Dakwanya, mustahil untuk membina rumah seperti rekaan yang dijanjikan dengan nilai tersebut dan ia kelihatan DBI Homes bersedia menanggung kerugian.
“DBI bukan yang pertama menawarkan rumah pada harga rumah mampu milik, malah ada syarikat lain turut melakukan perkara yang sama sebelum ini iaitu Alfafa.
“Syarikat tersebut juga turut melantik Boy Iman sebagai duta dan kini dia telah menukar jenama pembohongan Alfafa kepada DBI Homes.”
PW Community turut mendakwa, DBI Homes menggunakan teknik skim piramid dalam mengumpulkan dana dan menawarkan rumah dengan harga murah sebagai tarikan.
“Apabila perlu cari downline bermakna dana yang dikumpulkan oleh DBI akan menjadi berlipat kali ganda secara pyramid scheme dan semestinya permainan licik sebegini senang dapat sambutan.
“Kita lambat bertindak untuk kekang scam Alfafa. PW mula buat isu bila keadaan telah jadi serius dan dalam kes DBI kita berpeluang untuk lenyapkan penipuan sebelum ia kukuh bertapak.
“DBI kini hanya pada peringkat permulaan dan kita kena lenyapkan DBI dengan segera supaya masyarakat awam tidak menjadi mangsa,” dakwa PW Community.