Grab melaporkan pengguna Grab di Kuala Terengganu paling kerap memberi tip kepada pemandunya. Ia diikuti oleh penduduk Kemaman di tempat kedua, Langkawi di tempat ketiga, Kota Bharu di tempat keempat dan Alor Setar di tempat kelima.
Walaupun ketika berhadapan masa yang sukar, rakyat Malaysia tidak pernah gagal untuk mempamerkan sikap prihatin dan pemurah dalam membantu mereka yang memerlukan.
Ini jelas terbukti apabila Grab melaporkan bahawa pemandu dan penghantar pesanannya memperoleh banyak ‘tip’, menjangkau sehingga berjumlah lebih RM2.4 juta daripada rakyat Malaysia semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Semasa berkongsi maklumat mengenai berkenaan menerusi laman web rasminya, pengendali perkhidmatan e-hailing itu turut mendedahkan kejadian seorang pengguna perkhidmatannya yang memberi tip berjumlah RM500 kepada seorang pemandu perkhidmatan itu.
“Pemandu ini menghantar bungkusan untuk saya. Walaupun agak sukar untuk mencari lokasi saya, dia sentiasa bersabar dan tenang. Apa yang membuatkan saya tergerak hati untuk memberikan tipitu kepada dia hanyalah kerana satu tindakan yang mudah – untuk menunjukkan rasa syukur dan terima kasih kepada jiran-jiran kita.
“… secara secara diam-diam, jika anda memberi tip melalui aplikasi itu, sudah tentu pemandu atau penghantar pesanan tidak dapat menolaknya!” kata pengguna yang dikenali sebagai John Smith, dalam laman web itu.
Kejadian itu mungkin muncul sebagai suatu kejutan, kerana ia berlaku semasa ramai yang bergelut akibat ketidakstabilan ekonomi ekoran pandemik COVID-19.
Grab juga melaporkan bahawa tabiat untuk memberi tip dalam kalangan rakyat Malaysia juga bertambah kepada 75% berbanding sebelum PKP dilaksanakan. Penduduk Lembah Klang adalah pemberi tip terbanyak dengan lebih RM160,000 tip diberikan.
Dalam pada itu, pengguna Grab di Kuala Terengganu dilaporkan sebagai paling pemurah dengan purata nilai pemberian tip tertinggi untuk setiap tempahan di negara ini.
Rakyat Malaysia juga dilihat semakin serasi dalam pemberian tip, di mana satu daripada 30 tempahan melalui platform Grab diberikan tip oleh rakyat Malaysia berbanding sebelum pelaksanaan PKP dengan hanya satu untuk setiap 100 tempahan.
“Secara purata, rakyat Malaysia menghabiskan lebih RM30,000 sehari memberikan tipkepada pemandu dan penghantar pesanan mereka,” kata laman web itu.
Sementara itu, penghantar pesanan makanan Grab dikatakan sebagai paling banyak mendapat tip iaitu lebih RM2 juta.