Watak Fizi dalam siri animasi Upin Ipin menjadi salah satu topik sohor kini di Indonesia susulan penularan sebuah klip babak siri tersebut yang berdurasi 48 saat.
Dalam klip tersebut, Mail dilihat terpaksa balik rumah untuk membantu ibunya membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri. Upin kemudiannya berkata: “Baguslah kau ni, Mail. Anak mithali!”
Mail membalas: “Mestilah, syurga kan di bawah telapak kaki ibu.”
Upin kemudiannya bertanya, “Kalau tak ada ibu?” yang dijawab dengan selambanya oleh Fizi “…tak adalah syurga”. Upin dan Ipin merupakan kembar anak yatim piatu yang dijaga oleh opah dan kakak mereka.
Mulut lancang Fizi dalam babak ini membuatkan namanya menjadi tular di Twitter sehinggakan Fizi ‘dikecam’ oleh peminat siri Upin Ipin di Indonesia.
Siri animasi Upin Ipin ini menjadi tular semula di Twitter Indonesia kerana stesen televisyen MNCTV dan RCTI Plus menayangkannya pada hari raya.
Susulan nama Fizi yang tular di Twitter, MNCTV memuat naik ‘permohonan maaf’ dari Fizi.
Tak ketinggalan seorang netizen di Indonesia membuat akaun parodi bernama Muhammad Al Hafezzy untuk menjelaskan mengapa dia bermulut celupar di depan Upin Ipin.
MNCTV turut memuat naik klip susulan yang menayangkan penjelasan Opah mengenai kenyataan kontroversi Fizi.
Pengaruh Upin Ipin besar di Indonesia
Indonesia merupakan pasaran eksport terbesar siri animasi Upin Ipin sejak 2009 lagi. Dianggarkan lebih 10% populasi Indonesia pernah menonton Upin Ipin di televisyen.
Upin Ipin pernah mendapat pujian daripada wartawan Indonesia, Fadil Abidin yang berpendapat siri animasi tersebut mengandungi banyak pengajaran dan penddidikan yang sesuai dengan nilai Nusantara dan Islam.
“Kartun ini mengandung pendidikan serta unsur Islam, seperti menghormati sesama kawan yang berbeda kaum dan agama sehingga watak-wataknya bukan saja terdiri dari orang Melayu, Cina dan Tamil, bahkan juga orang Indonesia,” kata Fadil.
Pengaruh Upin Ipin sangat besar di Indonesia sehingga ia memberi inspirasi kepada syarikat produksi animasi di sana untuk mencipta ‘Upin Ipin versi Indonesia’ iaitu Burik & Gopeng.