“Orang rasis di Malaysia masih lagi ramai, walaupun negara kita nampak harmoni,” kata Ejiofor Adam Young yang berdarah kacukan Afrika-Melayu. Beliau yang mesra dipanggil Adam berkongsi pendapatnya mengenai isu rasisme di Malaysia.

Pemuda berusia 22 tahun ini turut berkata cercaan berbau rasisme itu biasa diterimanya dari kaum Melayu sendiri.

Beliau turut menceritakan kisahnya yang bukan sahaja pernah diejek, malah turut dipukul oleh rakan sekolahnya. Ia sampai ke tahap pembulinya membuat Facebook group bernama ‘Anti Ejiorforyoung’ khas untuknya.

Ketika mengenang kisah sedih beliau dibuli di sekolah, Adam berkata:

“Apa yang jadi dekat aku memang aku takkan lupakan. Sungguhpun aku dah lama maafkan mereka semua, tetapi even up until now aku masih tengah mencuba lagi untuk redha. Susah weh susah sangat…”

Tak suka dipanggil N***o

Menurut cerita Adam kepada Mstar, cercaan daripada orang-orang rasis di Malaysia sudah diterimanya sejak kecil.

“Emak saya orang Melayu, ayah pula dari Nigeria. Saya hidup membesar di Malaysia, macam-macam orang bersikap rasis.

“Daripada masih kecil sehingga ke sekolah… agak kurang sikit bila masuk universiti tetapi ia tetap ada, dari bentuk lain pula.

“Dari segi layanan orang, saya dah terbiasa. Tapi dah biasa pun tetap sakit. Orang hina, panggil bukan-bukan (dipanggil N***o).”

Menurut Adam lagi, ada juga peniaga yang enggan berurusan dengannya kerana identitinya yang berkulit hitam.

Malah, ada individu yang pernah kantoi bercakap buruk mengenai dirinya kerana tidak sedar Adam boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

“Dulu masa pergi shopping, duduk semeja dengan kawan. Dia pergi order dulu. Jadi ada sekumpulan orang Melayu di meja sebelah berborak mengenai saya.

“Masa tu sedih tapi buat tak tahu, bila kawan datang, saya sengaja cakap bahasa Melayu kuat-kuat. Kemudiannya baru mereka sedar saya faham apa yang diperkatakan.

“Terus mereka bangun dan berlalu pergi.”

Syukur dikelilingi kawan positif

Namun kata Adam, dia bersyukur apabila dikelilingi rakan-rakan yang positif dan sentiasa memberi semangat buatnya.

Malah, dia juga mencari eskapism kepada kesedihan diri dengan menyertai pancaragam dan teater.

“Dulu hidup sangat susah nak bergaul dengan orang. Selalu kena pulau, kena pukul. Selalu zaman sekolah keluar masuk balai polis sebab orang kacau saya.

“Walaupun dalam keadaan sedih, Allah bagi orang sekeliling yang banyak menyokong, sentiasa bagi semangat.

“Untuk lupakan hal ini, saya juga masuk pancaragam, bermain instrumen trombone dan masuk teater.”

Menurut pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor itu, ibu bapanya berkahwin sekitar tahun 1997 dan sudah lama berpisah.

Namun, mereka masih lagi berhubung dengan bapanya yang kini menetap di United Kingdom.

Kaedah atasi rasisme dan buli

Selain itu, Adam turut berkongsi beberapa tips yang diamalkannya apabila berhadapan dengan kes rasisme dan buli.

“Pertama sekali, bersikap tenang. Jangan balas. Jangan lawan balik. Dalam banyak kes, bila anda mula bergaduh secara fizikal, anda yang bersalah.

“Kedua, perhati dulu situasi. Apa yang orang itu buat? Teruk kah? Adakah mereka menyerang anda secara fizikal atau verbal? Jika ya, apa cara terbaik untuk menghentikannya?

“Ketiga, positif. Kadang-kadang ada orang bersikap rasis kerana tersilap. Mungkin juga mereka bergurau walaupun gurau secara rasis sebenarnya salah. Nasihatkan mereka. Jangan marah. Bersikap tenang.

“Keempat, lawan dengan fakta. Jangan jadi bodoh macam mereka. Cakap dengan fakta. Jangan mencarut. Jangan ejek. Jangan menjerit. Jadi orang yang lebih baik.

“Kelima, didik mereka. Beri mereka amaran apa akan berlaku jika mereka terus jadi rasis atau membuli. Beri didikan kepada mereka.

“Keenam dan yang terakhir, jangan layan. Ini tindakan paling kuat mesejnya. Jangan masuk campur. Bila mereka serang anda, lari. Tapi kaedah ini tak berkesan jika mereka dah mula bahayakan diri anda. Jadi gunakan akal dan cari kaedah lain.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan:

Sumber: