Sebuah pusat pemuliharaan hidupan liar di Kenya, Sheldrick Wildlife Trust, melaporkan kelahiran zonkey – hibrid zebra dengan keldai – yang kemudiannya menjadi berita tular di Afrika.

Sheldrick Wildlife Trust melaporkan kejadian tersebut di laman Facebook rasmi mereka.

Menurut mereka, pada Mei 2019 lepas, seekor zebra liar tersesat keluar dari Taman Negara Tsavo Timur. Zebra betina tersebut kemudiannya dijejak sebelum dibawa semula ke Taman Negara Chyulu pula. Zebra tersebut hidup di taman negara itu sehingga kini.

“Pada awal tahun ini, staf penyelenggaraan pagar kami mengesan seekor zebra dengan anaknya di sebelah. Hanya beberapa minggu lepas barulah staf kami perasan keunikan anak zebra tersebut.

“Anak zebra tersebut mempunyai belang yang pudar dan berwarna coklat oren.

“Pada mulanya kami ingat badan anak zebra itu berwakna coklat kerana baru mandi lumpur. Tapi bila kami perhati dekat-dekat, barulah kami perasan: zebra betina itu melahirkan zonkey!”

Organisasi yang bertanggungjawab memulihara hidupan liar di Kenya itu turut menjelaskan zonkey adalah hybrid antara keldai dengan zebra ‘yang sangat jarang berlaku’.

Sheldrick Wildlife Trust turut memberitahu zonkey tersebut boleh hidup normal seperti keldai. Tetapi ia tidak boleh melahirkan anak sepertinya apabila dah matang kelak.

Apa itu zonkey?

Zonkey atau nama rasminya, zebroid merupakan keturunan kacukan zebra dengan apa-apa jenis keluarga kuda (seperti keldai).

Zebroid yang berbapakan keldai dan beribukan zebra (seperti dalam kes zonkey di atas) dipanggil sebagai zonkey atau zebra hinny.

Zebroid yang berbapakan kuda dan beribukan zebra pula dipanggil hebra. Tetapi ia jauh lebih jarang berlaku berbanding zonkey.

Kedua-dua zebroid ini malangnya tidak boleh melahirkan keturunan mereka sendiri kerana genetik mereka yang tidak subur secara semulajadinya.

Kewujudan zebroid telah lama ditemui oleh saintis sejak abad ke-19. Saintis Charles Darwin pernah mencatatkan kewujudan zebroid berdasarkan penemuannya sendiri dalam buku tulisannya, On The Origin of Species.

Secara fizikalnya zebroid lebih menyerupai kuda/keldai, tetapi mereka mempunyai belang seperti zebra. Belang mereka tidak meliputi seluruh badan.

Cuma berbeza dengan kuda/keldai, zebroid mewarisi sifat zebra yang tidak mesra dengan manusia. Jadi mereka tidak boleh dijinakkan dan dijadikan tunggangan. Seperti zebra, zonkey sangat kuat dan agresif walaupun saiz mereka tidak besar.

Baca juga artikel kami lain yang mungkin menarik perhatian anda: