Ketika beliau melangkah keluar untuk bermain di Kejohanan Tenis Wimbledon edisi 2018, peminat Roger Federer seakan-akan tidak percaya. Juara lapan kali itu memakai baju dan seluar putih yang dilihat sama seperti 20 edisi sebelum ini, namun dengan tulisan kecil jenama UNIQLO.

Tiada lagi logo Nike dan huruf besar RF yang menghiasi baju Roger Federer seperti dua dekad sebelum ini. Dan untuk atlet bertaraf super star seperti beliau, keputusan itu tidak boleh diterima oleh sesetengah peminat.

Sebenarnya, ia bukanlah keputusan yang mudah untuk Federer. Namun, setelah dinilai pada hari ini ia merupakan keputusan yang sangat tepat.

Ayuh kita singkap mengapa keputusan beliau kira-kira dua tahun lalu akhirnya menguntungkan Federer pada hari ini.

Nike memiliki longgokan atlet super star

Kredit gambar: LTB

Nike merupakan syarikat pakaian dan perlatan sukan terbesar di dunia. Bagi sukan tenis sahaja, hampir kesemua atlet super star tenis ditaja oleh Nike termasuklah Serena Williams, Rafael Nadal dan Maria Sharapova. Maka, apabila Roger Federer yang ketika itu berusia 36 tahun mahu memperbaharui tajaannya, Nike berubah pendirian.

Seperti mana-mana tajaan lain, atlet tidak akan menerima lebih 10 peratus daripada keseluruhan keuntungan syarikat. Untuk mengekalkan tajaan kepada super star mereka yang lain, Nike terpaksa melepaskan Federer. Ketika itu, beliau hanya dibayar kira-kira $10 juta setahun oleh Nike.

Uniqlo menyambar Roger Federer

Kredit gambar: Options

Apabila dilepaskan oleh Nike, Roger Federer tidak berpaling lagi. Beliau kemudiannya menandatangani perjanjian tajaan baharu dengan Uniqlo, gergasi pakaian dari Jepun. Uniqlo ketika itu sedang mengembangkan portfolio atlet tajaannya bagi bersedia menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai penaja pakaian sukan.

Sebenarnya, keputusan tersebut menguntungkan kedua-dua belah pihak. Langkah pemilihan atlet super star seperti Federer menjadikan Uniqlo dilihat benar-benar mampu menyediakan pakaian sukan yang terbaik.

Federer pula menerima kontrak tajaan yang jauh melebihi jumlah tajaan beliau di Nike iaitu kira-kira tiga kali ganda. Bukan itu sahaja, tajaan tersebut berlangsung selama sepuluh tahun. Ini bermakna, biarpun Federer mahu bersara daripada sukan tenis kelak, beliau akan terus dibayar sebanyak $30 juta setahun.

Bagaimanapun, timbul satu masalah daripada tajaan ini. Uniqlo hanya menaja pakaian sukan Federer, dan beliau perlu mencari penaja bagi kasut sukannya.

On Running menggantikan kasut Nike

Kredit gambar: Bloomberg

Tanpa sebarang tajaan kasut sukan, Roger Federer kekal menggunakan kasut Nike untuk kejohanan-kejohanan seterusnya. Beliau menggunakan kasut tersebut tanpa dibayar apa-apa oleh Nike.

Ketika sesi latihan, Federer mula mencuba kasut-kasut sukan jenama lain. Beliau akhirnya mula selesa menggunakan jenama kasut sukan dari Swiss, On Running.

Federer kemudiannya menandatangani perjanjian tajaan bersama On Running. Sebagai sebahagian daripada tajaan tersebut, beliau dilantik sebagai duta antarabangsa dan diberikan 3 peratus daripada pemilikan syarikat kasut sukan itu. Beliau turut membuat pelaburan bersama On Running.

Keputusan gila menggantikan Nike dengan On Running juga menyebelahi Roger Federer. Dua tahun kemudian, On Running disenaraikan di New York Stock Exchange dengan nilai $11 bilion. Maka, pemilikan 3 peratus dan pelaburan Federer dua tahun lalu kini bernilai lebih daripada $300 juta.

Kedua-dua keputusan tajaan yang dipilih oleh Federer membawa keuntungan bernilai $600 juta kepada beliau.

Tajaan melebihi hadiah kemenangan

Kredit gambar: Tennis World

Sepanjang tahun lalu, Roger Federer hanya bermain di satu kejohanan tenis. Beliau hanya dibayar sebanyak $300,000 untuk kejohanan tersebut.

Namun begitu, secara keseluruhannya pendapatan beliau pada tahun lalu bernilai $90 juta. Ini bermaksud, baki $89.7 juta lagi pendapatannya datang daripada pelaburan dan tajaan-tajaan yang diterimanya.

Ia menjadikan Federer sebagai atlet ketujuh paling mahal dibayar di dalam dunia sukan sepanjang tahun lalu.