Institusi kewangan khususnya bank-bank di Malaysia yang terlibat dalam pemberian moratorium 6 bulan disaran untuk melupuskan kadar faedah terakru dalam pinjaman sewa beli dan keuntungan dalam pembiayaan Islamik sepanjang skim tersebut berlangsung.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, melalui akaun Facebook rasmi miliknya.

Menurut beliau, Kementerian Kewangan bersedia untuk bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan sektor perbankan bagi memastikan cadangan tersebut dapat dilaksanakan.

Kenyataan beliau dibuat susulan timbulnya kekeliruan umum mengenai kadar faedah terakru atau keuntungan yang dikenakan sepanjang skim moratorium berjalan.

“Antara punca kekeliruan ini disebabkan pelbagai sumber yang membawa maklumat kurang tepat,” katanya menerusi catatan terbaharunya di laman Facebook beliau, hari ini.

Susulan itu, pihak BNM pada 1 Mei, 2020 menerusi laman sesawangnya telah menyiarkan kenyataan ‘Soalan Lazim (FAQs) Mengenai Pengendalian Moratorium bagi Pinjaman Sewa Beli dan Pembiayaan Islam Berkadar Tetap’ yang telah dikemaskini.

Menteri Kewangan turut menjelaskan di bawah Akta Bank Negara 2009, segala isu berkaitan moratorium berada di bawah bidang kuasa BNM dan bank pusat itu juga telah mengadakan sidang media untuk menjelaskan kekeliruan yang timbul berkenaan isu kadar faedah tersebut.

“Sejak kebelakangan ini, media massa dan netizen banyak menimbulkan persoalan mengenai isu ini. Untuk makluman, memang terdapat bank yang menawarkan moratorium pinjaman tanpa mengenakan faedah terakru atau faedah dikompaun atas pinjaman.

“Namun ia tidaklah merangkumi semua produk pinjaman…setiap bank pula ambil pendekatan tersendiri dalam hal mengenakan faedah sewaktu tempoh moratorium,” katanya.

Menyedari akan kesulitan yang berlaku, pihak Kementerian Kewangan telah memulakan usaha mencari jalan penyelesaian terbaik bagi kemelut ini melalui perbincangan bersama Bank Negara Malaysia dan bank-bank terlibat untuk membuat keputusan tepat mengikut keperluan rakyat ketika ini.

Malah, tegas beliau, kerajaan sentiasa peka terhadap cetusan hati nurani rakyat, terutamanya golongan B40 dan M40 serta mengambil berat mengenai perkara itu.

“Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar disebabkan oleh wabak COVID-19, saya amat berharap pandangan (mengenai saranan) ini dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh BNM dan juga institusi-institusi kewangan dalam negara.

“Saya yakin langkah ini akan dapat memberi impak positif kepada rakyat kita,” tambahnya.

Baca juga artikel lain yang berkaitan COVID-19 di Malaysia: