Dengan jumlah mangsa kes Coronavirus semakin meningkat di China, tak keterlaluan untuk kita katakan netizen semakin bimbang. Hal ini tak terkecuali di Malaysia di mana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 3 kes positif Coronavirus.

3 pesakit tersebut yang masuk ke Malaysia melalui Johor Bharu kini dirawat di Hospital Sungai Buloh. Mereka berada dalam keadaan stabil. KKM juga memberitahu 3 pesakit ini adalah ahli keluarga terdekat dengan pesakit kes pertama yang berlaku Singapura.

Menurut kenyataan rasmi KKM, “Tiga yang positif itu adalah isteri kepada kes pertama di Singapura berumur 66 tahun dan dua cucu mereka (11 dan 2 tahun). Kesemua mereka telah melalui saringan kesihatan ketika memasuki pintu masuk antarabangsa tetapi tidak menunjukkan sebarang tanda.”

“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor berjaya mengesan mereka selepas mendapat maklumat daripada Kementerian Kesihatan Singapura dan menjalani ujian pengesanan semula. Sampel klinikal kemudiannya dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kesihatan Sungai Buloh dan disahkan positif lewat malam tadi.”

Kenapa tak halau balik China?

Berikutan daripada kenyataan rasmi di atas, ada netizen di Malaysia mula mempersoalkan tindakan yang diambil KKM. Tak kurang ada yang cuba memusing isu ini menjadi isu politik.

https://twitter.com/mark3_ram/status/1220925226835304448

KKM kemudiannya memberi maklum balas ini kepada reaksi netizen yang mahu kerajaan menghantar pulang 3 pesakit tersebut ke China.

KKM ada SOP ketat dan pegawai professional yang arif

Di kala ada netizen cuba mengeruhkan keadaan dengan menyebarkan khabar angin dan persepsi negatif, ada juga yang bersikap lebih rasional. Hisyam Ghazali adalah salah satu contohnya. Beliau bertindak menjawab satu demi satu mitos dengan fakta.

Mitos 1: KKM tak buat apa-apa ke?

Mitos ini tidak benar. KKM telah pun mengeluarkan langkah-langkah kesiapsiagaan Malaysia dalam menangani penyebaran kes Coronavirus.

Pertama, KKM menyarankan orang ramai supaya menangguhkan perjalanan ke Wuhan kecuali untuk urusan penting.

Kedua, enam (6) langkah pencegahan turut dikeluarkan sebagai panduan orang ramai. Enam langkah tersebut adalah:

  • Cuci tangan dengan air dan sabun/guna bahan pencuci tangan (hand sanitizer).
  • Elak lawat ladang/pasar menjual haiwan hidup, tempat sembelihan/menyentuh haiwan.
  • Pakai penutup mulut dan hidung.
  • Elak makan produk haiwan mentah/tak dimasak dengan sempurna.
  • Elak kunjungi tempat tumpuan ramai/bergaul dengan individu bergejala.
  • Segera dapatkan rawatan jika sakit/alami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan.

Antara langkah-langkah persediaan yang diambil oleh KKM adalah:

  • Mengeluarkan tatacara bagi anggota kesihatan mengesan dan menguruskan individu disyaki dijangkiti.
  • Memperkukuh saringan di semua pintu masuk antarabangsa dan bekerjasama dengan agensi berkaitan.
  • Memperkukuh saringan pesakit di Klinik Kesihatan dan Jabatan Kecemasan Hospital
  • 26 hospital dikenalpasti bagi mengendalikan kes.
  • Institut Penyelidikan Perubatan & Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan berkeupayaan menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan.
  • Rapid Response Team & Rapid Assesment Team daerah akan diaktifkan jika terdapat makluman kes disyaki daripada hospital merawat.

Mitos 2: Pergi bagi semua pelancong China masuk sesuka hati tu kenapa?

Mitos ini juga tidak betul. Menurut laporan Astro Awani, Malaysia Airports sedang bekerjasama rapat dengan KKM untuk melakukan saringan penumpang antarabangsa di pintu masuk lapangan terbang seluruh negara.

Empat langkah diambil oleh Malaysia Airports:

  • pelaksanaan pemeriksaan haba untuk penumpang dan kru penerbangan dari China.
  • menyediakan ruang perubatan khas untuk tujuan kuarantin berdekatan pintu ketibaan sebagai persediaan sekiranya terdapat penumpang yang menunjukkan tanda virus.
  • menetapkan semula pintu masuk ketibaan untuk penerbangan dari China supaya berdekatan dengan ruang perubatan supaya prosedur kuarantin dapat dipercepatkan dan meminimumkan pendedahan kepada awam.
  • kesemua syarikat penerbangan akan membuat beberapa pengumuman kepada penumpang dan mengedarkan Kad Amaran Kesihatan (HAC) yang dikeluarkan oleh KKM untuk mengisytiharkan keadaan kesihatan semasa mereka.

Tidak cukup dengan itu, KKM juga sedang berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengawal memasukkan pelancong asing khususnya dari China.

Mitos 3: Celaka lah kerajaan. Pesakit tu elok dari Johor, dah kenapa bawak ke Hospital Sungai Buloh pulak?

3 pesakit Coronavirus di Johor Bharu itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh kerana Hospital Sungai Buloh merupakan Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan sejak tahun 2003. Ini adalah langkah yang diambil kerajaan berikutan penularan kes SARS pada ketika itu.

Mitos 4: Kenapa tak halau balik pelancong China macam kerajaan Filipina buat?

Satu perkara yang perlu diperbetulkan terlebih dahulu adalah – kerajaan Filipna hanya menutup sempadannya kepada penerbangan dari Wuhan SAHAJA. Bukannya dari China sekaligus.

Tambahan pula, media US melaporkan langkah penutupan sempadan seperti yang dilakukan oleh kerajaan Filipina ‘tidak pernah berkesan dalam menangani penyebaran penyakit berjangkit dan hanya bertindak sebagai teater politik’.

Vox dalam laporannya memberitahu langkah penutupan sempadan tidak berkesa seperti yang berlaku dalam kes:

  • HIV/AIDS pada era 1980-an.
  • Influenza selepas insiden 9/11.
  • H5N1 pada 2006.
  • H1N1 pada 2009.
  • SARS pada 2003.

Laporan tersebut turut memberitahu cara terbaik bagi sesebuah negara untuk mengawal penyebaran penyakit berjangkit dalam skala global adalah dengan:

  • mendidik pelancong mengenai penyakit tersebut.
  • membantu China membendung penyebaran penyakit tersebut.

Selain itu, perlu diingat World Health Organization (WHO) masih belum mengumumkan kes Coronavirus sebagai ‘kecemasan peringkat global’. Ini bermakna sesebuah negara tidak perlu menutup sempadannya – sekurang-kurangnya buat masa sekarang. WHO percaya sesebuah negara perlu menumpukan usaha untuk mengawal dan membendung penyebaran mengikut SOP yang telah dicadangkan.

Lagipun China telah pun melarang rakyatnya di 12 bandar daripada keluar dan masuk ke Wuhan. Jadi ia tidak masuk akal bagi Malaysia untuk menutup sempadan kepada warga China jika warga China sendiri tidak boleh keluar negara.

Kredit foto: Kementerian Kesihatan Malaysia