Tinggal 42 hari sahaja lagi untuk kita menyaksikan temasya Sukan Olimpik Musim Panas Tokyo 2020 yang sebelum ini ditangguhkan. Tarikh asal temasya ini adalah pada 24 Julai 2020 hingga 9 Ogos 2020, namun akibat pandemik Covid-19, Sukan Olimpik terpaksa ditangguhkan selama setahun. Tarikh baru penganjurannya adalah pada 23 Julai 2021 hingga 8 Ogos 2021 di Tokyo, Jepun.

Seramai 11,091 orang atlet dijangka akan menyertai temasya kali ini daripada 205 buah negara dengan 339 acara sukan daripada 33 jenis sukan akan dipertandingkan. Penganjuran Olimpik tidak pernah ditangguhkan dalam sejarahnya, hanya pernah dibatalkan terus akibat perang.

Mengikut sejarah, pembatalan sukan Olimpik pernah berlaku sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1916, 1940 dan 1944. Kesemua pembatalan ini disebabkan Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Pandangan pungutan suara rakyat Jepun

Kredit gambar: https://www.economist.com/asia/2021/06/05/the-impulse-behind-japans-decision-to-go-on-with-the-olympic-games

Pungutan suara demi pungutan suara menunjukkan rakyat Jepun tidak bersetuju dengan penganjuran Sukan Olimpik 2020 pada waktu ini. Pada penghujung bulan Mei lalu, lebih 400,000 orang rakyat Jepun telah menandatangani pungutan suara untuk membatalkan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020. Pungutan suara itu dilancarkan pada 5 Mei oleh peguam dan ahli politik terkenal Kenji Utsunomiya. Ia ditujukan kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Thomas Bach, Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga, Menteri Hal Ehwal Olimpik Tamayo Marukawa, Gabenor Tokyo Yuriko Koike dan beberapa individu berkepentingan lain.

Selain itu juga, menerusi pungutan suara oleh akhbar Yomiuri Shimbun, seramai 59 peratus daripada rakyat Jepun mahukan Sukan Olimpik ini dibatalkan berbanding hanya 39 peratus yang mahu ia diteruskan.

Status pandemik Covid-19 di Jepun

Kredit gambar: https://www.straitstimes.com/asia/east-asia/japan-calls-for-tokyo-state-of-emergency-declaration-as-covid-19-cases-surge

Sejak bulan lalu, jangkitan kes Covid-19 yang luar biasa di Wilayah Osaka mendorong desakan baharu untuk membatalkan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang membuka tirai Julai ini. Osaka yang merupakan bandar raya kedua terbesar di Jepun mengalami gelombang besar jangkitan wabak Covid-19 baharu sehingga menyebabkan hospital dilihat gagal menampung serta mengawal lonjakan wabak tersebut.

Beberapa hospital di Osaka pada waktu itu menegaskan mereka kehabisan katil dan juga mesin ventilator serta kakitangan dan doktor berdepan isu kepenatan yang boleh menyebabkan ‘keruntuhan sistem’ perubatan di wilayah tersebut. Wilayah barat Jepun itu dihuni kira-kira sembilan juta orang dan mereka berdepan gelombang keempat menyebabkan cabaran besar untuk penganjuran Olim­pik kali ini.

Ketua perubatan kecemasan dari Hospital Universiti Perubatan dan Farmasi Osaka (OMPUH), Akira Takasu memberi ama­ran agar Jepun membatalkan hasrat menganjurkan temasya Sukan Olimpik yang berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini. Menurut beliau, penganjuran Sukan Olimpik harus dibatalkan kerana Jepun ketika ini gagal untuk menghentikan jangkitan varian baharu dari Eropah dan kemungkinan varian India juga akan berada di Jepun dalam tempoh terdekat ini. Seramai puluhan ribu atlet, tidak termasuk jurulatih dan pegawai sukan dari seluruh dunia akan berhimpun di Jepun. Penganjurannya bakal menjadi pencetus kepada bencana lain selepas itu.

Setakat ini, Jepun mencatatkan 765,619 kes Covid-19 dengan 13,743 kematian. Setakat 9 Jun 2021, sebanyak 38,069 kes masih aktif dengan 1,885 kes baharu dicatatkan semalam dengan 98 kematian direkodkan.

Bagaimanakah penganjuran Sukan Olimpik boleh dibatalkan?

Kredit gambar: https://www.japantimes.co.jp/news/2021/05/17/national/tokyo-olympics-cancel-survey/

Kontrak yang dimetrai antara ibu kota Tokyo dengan International Olympic Council (IOC) sebenarnya adalah jelas. Hanya IOC boleh menunda ataupun membatalkan penganjuran sukan berprestij ini dan bukannya kerajaan Jepun. Tiada sebarang klausa yang membenarkan negara hos untuk membatalkan ataupun menunda penganjurannya kerana Sukan Olimpik dianggap sebagai hak milik eksklusif IOC.

Penganjuran Sukan Olimpik merupakan temasya terbesar di dunia dan sebarang pembatalan akan melibatkan kos berbilion-bilion dolar Amerika dalam bentuk hak penyiaran dan juga penyediaan tempat oleh tuan rumah. IOC boleh membatalkannya atas dasar pandemik Covid-19 sekiranya ia boleh membawa risiko yang besar kepada kesihatan para atlet. Namun begitu, keputusan tersebut terletak di tangan IOC dan bukannya kerajaan Jepun.

Penganjuran ini juga sebenarnya amat diperlukan oleh Jepun untuk membawa martabat negara Pasifik itu keluar daripada bayangan China. Kerajaan Jepun yang dipimpin oleh Perdana Menteri Yoshihide Suga berada di tahun pilihanraya. Ini merupakan penggal pertama pimpinan Yoshihide Suga dan beliau perlu mempunyai satu pencapaian yang dibanggakan untuk partinya kekal mentadbir.

Ketika Jepun menganjurkan Sukan Olimpik 1964, ia menunjukkan bahawa negara tersebut kembali ke peta dunia sebagai negara makmur pasca Perang Dunia Kedua. Penganjuran Sukan Olimpik 2008 oleh China dilihat sebagai isyarat kebangkitan China sebagai kuasa besar dunia. Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 anjuran Korea Utara dan Korea Selatan memperlihatkan dua negara yang boleh bersatu untuk penganjuran sukan. Pada sudut pandangan politik Yoshihide Suga, Jepun perlu menganjurkan Sukan Olimpik 2020 ini untuk menunjukkan kepada dunia Jepun yang serba baharu, moden dan merupakan paksi utama kepada kuasa besar dunia.

Sekiranya pembatalan dibuat dengan keputusan oleh IOC, tentu sekali ia akan melibatkan pembayaran tuntutan insurans yang bukan sedikit jumlahnya. Ribuan kontrak perniagaan telah ditandatangani sejak mula-mula Tokyo diisytiharkan sebagai tuan rumah dengan undian yang mengalahkan Istanbul dan kesemua kontrak ini dilindungi oleh insurans.