Sebagai salah satu usaha syarikat untuk mengecilkan kos operasi, AirAsia bakal menamatkan perkhidmatan lebih 300 orang kakitangan mereka. Menurut sumber, sejumlah 111 kru penerbangan, 172 juruterbang dan 50 orang jurutera akan ditamatkan perkhidmatan mereka dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Riad Asmat ketika sesi taklimat bersama kakitangan syarikat berkenaan mengumumkan berita menyedihkan itu. Para pekerja yang terlibat dalam langkah itu akan dimaklumkan menerusi e-mel dalam tempoh 24 jam.

Riad memaklumkan situasi yang dihadapi oleh AirAsia Berhad ketika ini amat sukar dan beliau meminta maaf kepada kakitangan syarikat penerbangan itu serta menegaskan, AirAsia tiada pilihan lain yang boleh diambil buat masa ini melainkan penstrukturan semula organisasi mereka.

Walaubagaimanapun, AirAsia Berhad berjanji akan memberikan pampasan yang sewajarnya kepada mereka yang terkesan dengan tindakan drastik ini.

Namun, beliau tidak dapat menjamin berapa lamakah tempoh yang diperlukan bagi mengembalikan semula keadaan menjadi normal. Penularan pandemik COVID-19 masih tidak menunjukkan perkembangan yang baik ketika ini.

Malaysia pada waktu ini juga menunjukkan peningkatan kes positif COVID-19 dengan jumlah 277 kes semalam. Dengan perkembangan ini, pastinya akan memberikan kesan kepada syarikat dalam sektor pelancongan dan industri penerbangan untuk kembali beroperasi seperti biasa.

Setakat ini juga, masih tiada kepastian tentang bagaimana nasib para pekerja yang tidak diberhentikan oleh AirAsia sama ada mereka akan mengalami pengurangan gaji ataupun sebaliknya. AirAsia X (AAX) telah mengumumkan pengurangan tenaga kerja mereka melibatkan pekerja tempatan dan asing, namun jumlah yang terlibat tidak diumumkan.

Baca juga artikel menarik lain yang berkaitan:

Sumber: