Pada tahun 1992, seorang kaunselor perhubungan rumah tangga dari Amerika Syarikat menulis sebuah buku yang sangat penting. John Gray menulis buku yang bertajuk Men Are from Mars, Women Are from Venus.

Dua dekad kemudian, buku tersebut masih lagi hangat dibincangkan dan diperdebatkan. Seperti yang kita sedia maklum, kedua-dua Planet Marikh dan Zuhrah dipisahkan oleh Bumi di dalam susunan Sistem Solar.

Buku tersebut menggambarkan konflik perhubungan antara dua jantina ini kerap kali disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah pemilikan imbangan berbeza antara emosi, budaya dan nilai. Jadi, secara metaforanya John Gray menggambarkan lelaki dan wanita sebenarnya tinggal di planet yang berbeza antara satu dengan yang lain.

Dikotomi oleh John Gray ini sebenarnya lebih luas dari hanya soal perhubungan di dalam rumah tangga. Kedua-dua jantina ini mempunyai cara yang berbeza untuk memproses maklumat, menangani masalah, menghabiskan masa lapang dan juga berbelanja.

Disebabkan oleh perbezaan cara memproses maklumat ini, wanita jelas mempunyai cara yang berbeza untuk berbelanja. Tanpa disedari, perbezaan ini digunakan sepenuhnya oleh perniagaan bagi mengenakan harga yang lebih tinggi terhadap barangan keperluan mereka.

Tabiat berbelanja yang jauh berbeza

Kredit gambar: Crossed Sabres

Bukan suatu rahsia apabila lelaki dan wanita mempunyai kecenderungan yang berbeza semasa membeli-belah. Ini kerana, kedua-dua jantina ini menanggapi aktiviti ini dengan cara tersendiri.

Lelaki cenderung untuk menganggap aktiviti membeli-belah sebagai satu tugasan segera. Mereka lebih gemar untuk membeli sesuatu keperluan secara bersahaja dan secepat mungkin.

Maka, untuk menyelesaikan tugasan tersebut lelaki tidak akan memeriksa harga dengan teliti ataupun bertanyakan pandangan orang lain. Untuk itu, pembelian menjadi sesuatu yang mudah dan pantas.

Ini berbeza dengan pembelian yang dibuat oleh wanita. Wanita menganggap proses membeli-belah sebagai terapi yang menghiburkan.

Mereka juga selalunya tidak akan bersendirian sewaktu membeli-belah. Maka, pandangan rakan yang datang bersama akan dipertimbangkan. Selain itu juga, wanita mudah untuk terjebak dengan pembelian mendadak terhadap barangan yang mungkin tidak diperlukan dalam masa terdekat.

Pink Tax, jualan berasaskan jantina

Kredit gambar: Femina

Oleh kerana itu, perniagaan berlumba-lumba untuk menghasilkan produk yang jelas membezakan kedua-dua jantina ini. Sekilas pandang, kita sudahpun mengenali produk yang mempunyai sasaran pelanggan mengikut jantina.

Kebiasaannya, barangan wanita menggunakan warna-warna berona lembut seperti merah jambu dan ungu. Barangan keperluan lelaki pula diwarnakan dengan warna gelap seperti hitam dan biru tua. Nama-nama yang digunakan juga mudah membezakannya.

Namun begitu, sebenarnya terdapat perniagaan turut mengekspoitasi dikotomi ini dengan istilah yang digelar sebagai “Pink Tax”. Kajian Pink Tax ini telah lama dijalankan di Amerika Syarikat. Sebagai contoh, selama dua dekad beberapa negeri seperti California, Connecticut, Florida, dan South Dakota mengeluarkan laporan perbandingan harga berdasarkan jantina.

Pada tahun 2010, laporan kepenggunaan menunjukkan bagaimana wanita membayar hampir 50 peratus lebih mahal berbanding lelaki untuk produk yang sama. Lima tahun kemudian, Jabatan Hal Ehwal Pengguna New York City pula mengeluarkan laporan yang lebih terperinci. Menurut laporan tersebut, terdapat 794 produk dari 91 jenama menunjukkan perbezaan harga yang melampau.

Laporan lengkap ini membezakan produk daripada lima industri berbeza seperti keperluan peribadi kepada barangan penjagaan diri. Terdapat 35 kategori produk seperti sabun mandi dan syampu.

Barangan peribadi yang dibandingkan adalah seperti mata pisau cukur Schick. Warna ungu yang menyasarkan pengguna wanita dijual pada harga $18.49. Barangan yang sama bagi lelaki, dijual di dalam pek berwarna biru dijual pada harga $14.99.

Maka, adalah penting bagi pengguna untuk tidak terperangkap di dalam Pink Tax ini. Sentiasa periksa harga barangan keperluan anda bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi pasca pandemik.