Ketika artikel ini sedang ditulis, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru sahaja mengumumkan larangan balik kampung merentasi negeri kepada seluruh rakyat Malaysia.
Larangan ini adalah susulan daripada perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020.
PKPB adalah versi PKP yang lebih longgar, di mana kegiatan ekonomi sesetengah sektor dibenarkan, tetapi wajib mematuhi tatacara pengendalian piawai (SOP) daripada Majlis Keselamatan Negara.
Bersempena dengan larangan ini, pastinya ramai warga kota yang tidak dapat pulang berhari raya pada tahun 2020 ini.
Untuk menambah kesayuan anda, kami sertakan 10 lagu yang wajib anda layan bila tak dapat balik kampung untuk berhari raya.
1. Dendang Perantau (P. Ramlee)
Antara lagu Raya terawal ialah lagu gubahan seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ini dengan lirik oleh S. Sudamarji.
Dinyanyikan dengan sepenuh jiwa, lagu ini menceritakan tentang jejaka yang meninggalkan kampung halaman dan merindui orang tersayang di Aidilfitri. “Lagu ini mengusik hati ramai orang,” kata artis hip hop, Altimet.
“Cetusan emosinya diluahkan dari generasi ke generasi seterusnya.” Pasti sukar untuk mereka di perantauan menahan sebak mendengar ‘Dendang Perantau’ dimainkan di pagi Aidilfitri.
2. Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Sudirman)
Jika diteliti komen lagu ini di YouTube, ramai yang bersetuju lagu Sudirman ini adalah lagu paling sesuai untuk raya tahun 2020.
Lagu yang ditulis oleh komposer S. Atan dan lirik yang ditulis oleh Haron Abdul Majid ini merupakan luahan permohonan maaf seorang anak kepada ibu bapanya kerana perlu bekerja pada pagi Hari Raya.
3. Air Mata Syawal (Siti Nurhaliza)
“2020 tahun istimewa, Pelbagai cabaran juga tauladan, Jangan biarkan COVID-19 terus berleluasa, #KitaJagaKita meraikan Syawal yang bakal menjelma!”
Mesej diatas ditulis oleh Suria Records, pemilik hakcipta lagu ini di YouTube mereka pada dua hari sebelum larangan balik kampung dikuatkuasakan oleh Perdana Menteri.
Lagu ciptaan Pak Ngah dan lirik yang ditulis oleh Nurul Asyiqin ini mempunyai tema sama seperti lagu Sudirman, Dari Jauh Ku Pohon Maaf. Ia adalah permohonan maaf seorang akan kepada ibu bapanya kerana tak dapat balik berhari raya.
4. Pulanglah (Aishah)
Lagu ciptaan Adam Ahmad ini mempunyai lirik yang ditulis sendiri oleh penyanyinya, Aishah. Ia berkisarkan tentang perpisahan sepasang kekasih tetapi dalam konteks Hari Raya.
Mungkin bukan lagu sesuai jika anda lebih rindukan ibu bapa daripada bekas kekasih di kampung, tetapi kemerduan suara Aisyah memang menyentuh jiwa.
5. Ku Pohon Restu Ayah Ibu (Mamat Exist)
Lagu dan lirik yang dicipta oleh Amir Abdul Karim ini merupakan lagu yang kedengaran sedih, tetapi sebenarnya bernada optimistik daripada segi liriknya.
Ia menceritakan janji seorang anak (yang juga perlu bekerja pada Hari Raya) kepada ibu bapanya jika dia dapat balik kampung pada satu hari nanti.
6. Musafir Di Aidilfitri (S. Jibeng)
Penyanyi buta, S. Jibeng yang cukup popular pada era 60-an mempunyai satu lagu Hari Raya ikonik iaitu Musafir di Aidilfitri.
Liriknya berkisarkan tentang rintihan seorang anak yang sudah sebatang kara pada pagi Hari Raya. Selain kemerduan suara Jibeng, lagu ini turut diingati dek kerana lick gitarnya yang cukup melodik – satu pra-syarat dalam semua lagu pop yeh yeh.
7. Bersabarlah Sayang (Sanisah Damanhuri)
Lagu ciptaan Karim Masdor dan lirik ciptaan Yusnof Ef ini muncul kali pertama apabila dikompilasikan oleh EMI pada tahun 1973. Ketika ini, Sanisah Damanhuri baru 2-3 tahun menceburi karier nyanyian solo selepas mencipta nama menyanyi untuk kugiran The Terwellos dan The Hooks.
Lagu ini tiada signifikan dengan sentimen perantau ketika Hari Raya. Tetapi maksud liriknya cukup universal untuk diadaptasikan kepada situasi PKPB yang menuntut kesabaran kita ketika menghadapinya.
8. Lebaran Ini (Raihan, Nowseeheart, REM dan Ajai)
Lagu Lebaran Ini barangkali merupakan lagu paling optimistik dalam senarai artikel ini. Dinyanyikan oleh dua kumpulan nasyid terkenal, Raihan dan Nowseeheart serta dua penyanyi solo terkenal, Ajai dan REM, ia menceritakan apa yang patut kita buat pada pagi Hari Raya.
9. Kepulangan Yang Dinanti (Aman Shah)
Lagu ciptaan Omar Taib dan ditulis liriknya oleh AS ini menceritakan perasaan seorang anak ketika balik kampung berhari Raya dan kemungkinan mereka akan terpisah pada Hari Raya akan datang.
10. Jange Kelik Laa Weii (Man Khan & Aris Kapilla)
Diubahsuai oleh komposer Eddie Hamid daripada lagu bertajuk sama 4 tahun lepas, Jange Kelik Laa Weii berbentuk nasihat agar rakyat akur arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak membenarkan pergerakan antara negeri atau balik kampung meraikan 1 Syawal.
Lagu ini turut mendapat perhatian Muhyiddin ketika beliau membuat perutusan khas yang mengumumkan larangan balik kampung merentas negeri pada 10 Mei 2020.