Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul dilaporkan telah mengheret Facebook Inc dan Facebook Ireland Inc ke mahkamah, atas dakwaan beliau merupakan mangsa buli siber dan fitnah. Saman pemula yang difailkan beliau adalah untuk Facebook mendedahkan pemilik sebenar beberapa akaun palsu di Instagram yang menurut beliau memfitnah, mengganggu dan membuli siber dirinya.

Beberapa akaun Instagram tersebut turut dikelolakan menggunakan nama seakan-akan nama dirinya seperti @z_arina_anjoulie__ yang memaparkan gambar wanita bogel dengan kapsyen yang berunsurkan fitnah. Akaun kedua pula adalah @zarinaanjoulie2 yang turut sama memaparkan gambar wanita bogel yang tidak dikenali.

Menurut afidavitnya, Zarina berhasrat untuk memulakan tindakan terhadap pemilik akaun Instagram yang menyamar bagi mendedahkan identiti mereka untuk beliau membela dirinya daripada segala kemungkinan tuduhan yang telah menyalahgunakan nama beliau, selain menyamar sebagai dirinya.

Selain mengheret Facebook Inc selaku pemilik Instagram ke mahkamah, Zarina turut mengajukan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 28 September lalu kerana mahu identiti akaun Istagram palsu tersebut didedahkan. Namun begitu, Facebook Inc bukan dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, maka SKMM tidak mempunyai maklumat tersebut.

Berdasarkan afidavit Zarina, beliau memerlukan pendedahan identiti individu sebenar di sebalik akaun Instagram tersebut bagi meneruskan tindakan mahkamah terhadap mereka.

Sumber: