Yang mana wujud dulu? Ayam atau telur ayam? Soalan ini telah membelenggu manusia sejak zaman Tamadun Yunani sehinggalah sekarang.

Jawapan kepada soalan ini sebenarnya ringkas jika kita melihat secara harfiah (literal). Haiwan yang bertelur seperti buaya dan penyu telah wujud jauh lebih lama berbanding ayam. Jadi secara teknikalnya, telur yang wujud dahulu sebelum ayam.

Tapi soalan di atas sebenarnya perlu difrasakan semula kepada: ayam atau telur ayam yang wujud dahulu? Ini kerana ia lebih fokus kepada tujuan kitaran dan kesannya.

Contohnya, jika telur ayam yang wujud dahulu sebelum ayam, dari mana telur ayam tersebut berasal?

Dan jika ayam yang wujud dahulu sebelum telurnya, dari mana ayam tersebut berasal?

Jadi yang mana wujud dahulu?

Ayam wujud dahulu

Pendapat pertama mengatakan ayam wujud dahulu. Pendapat ini mendapat asasnya daripada kajian yang menemui protein OV-17 yang bertanggungjawab menghasilkan telur ayam hanya dijumpai di ovari ayam betina.

Tanpa protein OV-17, kulit telur ayam tidak boleh dihasilkan oleh ayam betina.

Jadi tanpa ayam betina, telur ayam tak mungkin wujud dahulu.

Tapi teori ini membangkitkan satu lagi soalan: jika ayam wujud dahulu, dari mana asal ayam yang mempunyai protein OV-17 di ovarinya?

Ahli falsafah Yunani mencabar definisi telur ayam dengan berkata: jika ada seekor binatang XYZ mengeluarkan telur, kemudian telur tersebut mengeluarkan ayam – adakah telur tersebut telur ayam atau telur binatang XYZ?

Persoalan inilah yang membawa kepada pendapat kedua iaitu telur yang wujud dahulu.

Telur wujud dahulu

Dalam proses pembiakan haiwan bertelur, si betina dan si jantan masing-masing menyumbang maklumat genetik yang dinamakan DNA. Tetapi proses replikasi DNA ini tidak akan sempurna 100% dan selalunya akan menghasilkan perubahan kecil kepada genetik si anak.

Mutasi kecil DNA ini akan menghasilkan spesis baru selepas beratus-ratus, beribu-ribu generasi membiak. Mutasi genetik ini pula mesti berlaku di zigot, atau sel induk.

Jadi pendapat kedua ini mencadangkan ayam zaman sekarang adalah hasil pembiakan dua jenis ‘ayam proto’ (haiwan bertelur yang nampak serupa tetapi tidak sama dengan ayam sekarang).

Disebabkan mutasi genetik berlaku dalam pembiakan dua ‘ayam proto’ ini, spesis ayam yang mempunyai protein OV-17 di ovarinya pun lahir.

Maka telur ayam yang wujud dahulu sebelum ayam.

Yang mana satu betul?

Dalam pendapat pertama iaitu ayam wujud dulu, ia bermula apabila haiwan bertelur membiak dan menghasilkan ayam proto. Ayam proto ini kemudiannya bertelur dan menghasilkan telur ayam proto.

Telur ayam proto ini kemudiannya melahirkan beratus, beribu generasi ayam proto sebelum akhirnya menghasilkan ayam yang kita kenali sekarang.

Dari mana ayam yang kita kenali sekarang itu berasal? Betul, dari telur.

Jadi dalam kes ini, tak kira apa pun pendapat yang anda pilih, telur sentiasa datang dahulu sebelum ayam.

Sumber: