Berhenti mengejut ataupun pelanggaran merupakan kejadian biasa yang berlaku sewaktu pemanduan. Maka, tali pinggang keledar menjadi satu ciri keselamatan penting bagi pemandu.

Rekod MIROS menunjukkan purata 17 kematian berlaku saban hari akibat kemalangan jalan raya. Ini bermaksud, negara mencatatkan satu kematian akibat nahas jalan raya bagi setiap 84 minit.

Program Penilaian Kereta Baharu (NCAP) menunjukkan bahawa memakai tali pinggang keledar dapat menyelamatkan nyawa. Kajian menunjukkan ia meningkatkan tahap keselamatan sehingga 50 peratus bagi pemandu dan penumpang di hadapan.

Tali pinggang keledar ini dicipta menggunakan kain webbing polyster yang sangat kuat. Ia mampu menahan bebanan daripada 500kg hingga 4,500kg. Namun begitu, bukanlah sesuatu yang mudah untuk menjadikan tali pinggang keledar ini sebagai kewajipan buat pemandu.

Ini sejarah penciptaan tali pinggang keledar dan kepentingannya.

Penciptaan tali pinggang keledar

Kredit gambar: Driving

Suatu ketika dahulu, kereta tidak dilengkapi dengan tali pinggang keledar. Malah, ketika dicipta oleh Sir George Cayley, tali pinggang keledar ini khusus untuk peluncur angin miliknya.

Ciri-ciri keselamatan tali pinggang keledar pada hari ini dicipta oleh Nils Bohlin pada tahun 1959. Menggunakan kain kain webbing polyster dengan tiga point keselamatan, ia mula dihasilkan untuk Volvo. 

Kematian ahli keluarga CEO Volvo pada ketika itu akibat kemalangan menjadikan beliau bersemangat untuk menambah ciri keselamatan ini. Atas dasar keselamatan pemandu kereta di seluruh dunia, Volvo berkongsi paten ciptaan Nils ini. Rekaannya diberikan secara percuma kepada pembuat kereta yang lain untuk digunakan.

Biarpun begitu, undang-undang pertama yang mewajibkan penggunaan tali pinggang keledar hanya hadir 11 tahun kemudian. Ia bermula apabila negeri Victoria dia Australia mewajibkannya.

Pada tahun 1980-an, barulah Amerika Syarikat memulakan kewajipan menggunakan tali pinggang keledar. Ini setelah pemandu bertindak memotong tali pinggang keledar yang dipasang di dalam kereta mereka.

Kepentingan tali pinggang keledar

Kredit gambar: The News Wheel

Semua kenderaan yang dikeluarkan sejak tahun 1993 telah dilengkapi dengan tali pinggang keledar. Kecuaian tidak memakai tali pinggang keledar adalah punca utama seseorang mengalami cedera parah.

Selepas diperkenalkan di Amerika Syarikat, statistik jelas menunjukkan kepentingan alat keselamatan ini. Kadar kematian akibat kemalangan menurun sebanyak 50 peratus.

Kajian menunjukkan penggunaan tali pinggang keledar menyelamatkan 99.13 peratus pemandu. Ini apabila kenderaan yang dipandu terbabit dalam kemalangan dan berpusing pada tahun 2014. Selain itu juga, kadar keederaan akibat kemalangan dapat dikurangkan sehingga 85 peratus.

Undang-undang penggunaan tali pinggang keledar kemudiannya diperluas kepada penumpang di kerusi belakang.

Di negara kita, undang-undang pemakaian tali pinggang belakang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2009. Pesalah yang disabitkan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Namun begitu, kajian menunjukkan kadar pematuhan masih di tahap yang sangat rendah. Sehingga tahun lalu, kadar pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk belakang hanya sekitar 11 peratus.