Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyangkal dakwaan kerajaan menaja sepenuhnya kos kuarantin di Hotel Hiton Petaling Jaya.
Beliau mengesahkan kerajaan hanya menanggung kos RM150 sehari bagi setiap individu yang dikuarantin di semua tempat.
Ini termasuklah di 45 buah hotel bertaraf tiga bintang ke atas yang telah diwartakan sebagai pusat kuarantin untuk mereka yang baru pulang dari luar negara.
Pengesahan yang dibuat oleh Ismail Sabri itu dibuat susulan dakwaan seorang wanita di Twitter yang mendakwa semua kos kuarantin beliau di Hotel Hilton Petaling Jaya ‘ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan’.
Ketika ditanya oleh netizen adakah bilik kuarantin beliau di hotel lima bintang itu dibayar oleh beliau sendiri atau kerajaan, wanita yang memakai akaun @AisyRumaisha itu menjawab:
“Ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan termasuk makanan dan wifi. Menu makanan dari Hilton tetap disediakan jika kami nak. Dan ya, [kami] tak dibenarkan keluar dari bili langsung. Ada polis di sini 24 jam 7 hari. Jadi ada tak boleh keluar sewenang-wenangnya.”
Wanita yang baru balik dari New Zealand itu turut memuat naik gambar bilik kuarantinnya:
Beliau turut berkata:
“Untuk tempoh kuarantin saya, saya diberi borang penilaian kesihatan. Saya diberitahu untuk berkomunikasi dengan mereka melalui WhatsApp untuk memaklumkan kepada mereka keadaan saya setiap hari.”
Wanita tersebut menjadi perhatian netizen susulan komen beliau yang menghina keadaan pusat kuarantin di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) Nilai yang disifatkannya ‘kelihatan seperti penjara’.
‘Tiada perbezaan ikut darjat’
Dakwaan wanita tersebut yang mengatakan kerajaan membayar sepenuhnya kos kuarantin di Hotel Hilton membuatkan timbulnya sentimen ada perbezaan pusat kuarantin mengikut darjat dan latar belakang rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.
Tetapi dalam taklimat hariannya di media hari ini, Ismail Sabri menafikan dakwaan tersebut:
“Kerajaan biayai kos untuk bilik dan makan, terhad RM150 sehari. Kos lain seperti dobi ditanggung oleh individu yang dikuarantin tersebut.
“Kenapa ada empat bintang, lima bintang? Seperti saya sebut kita kenal pasti 45 buah hotel yang disenarai sebagai pusat kuarantin.
“Ada permintaan daripada mereka yang dikuarantin ingin memilih hotel mereka sendiri. Jika pilih hotel sendiri dengan bilik berbeza, mereka perlu bayar sendiri.”
Namun katanya, biarpun diberi kelonggaran, mereka hanya boleh memilih salah satu dalam 45 buah hotel yang sudah disenaraikan kerajaan sahaja.
Jelasnya lagi, kelonggaran itu dibuat kerana ada permintaan khususnya dalam kalangan diplomat asing yang kembali ke negara ini dan sebagainya.
“Ramai juga dalam kalangan mereka yang pulang ingin pilih hotel mereka sendiri dan sanggup bayar kos mereka sendiri.
“Walau bagaimanapun, mereka hanya boleh pilih hotel yang telah ditetapkan kerajaan. Tak boleh tiba-tiba nak duduk di hotel enam bintang yang mereka pilih sendiri.
“Walaupun di hotel, prosedur operasi standard (SOP) adalah sama seperti pusat kuarantin di tempat lain.
“Kalau pilih hotel secara suka-suka dan tak ikut yang kita senaraikan, susah untuk buat pemantauan.”