Pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang mengesahkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut ketika saingan TNB Liga Hoki Malaysia 2020 masih berbaki dua perlawanan, berjaya meneruskan rentak cemerlang selepas menamatkan saingan liga tanpa sebarang kekalahan.
UniKL bagaimanapun terlepas peluang keemasan untuk melakarkan rekod 100 peratus kemenangan apabila diikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) 1-1 pada perlawanan terakhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, petang semalam.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad bimbingan Arul Selvaraj itu merakamkan 13 kemenangan dan satu keputusan seri untuk mengumpul 40 mata dengan menjaringkan 54 gol dan hanya dibolosi 10 jaringan sahaja.
Kejayaan itu juga membolehkan UniKL membawa pulang trofi kemenangan berserta hadiah wang bernilai RM100,000 yang disampaikan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Dato’ Sri Subahan Kamal.
UniKL sememangnya antara pasukan pilihan sejak dari awal kerana pasukan tersebut dibarisi pemain-pemain berpengalaman seperti Muhammad Razie Abd Rahim, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan beberapa pemain lagi.
Manakala kuota pemain import pula diisi empat pemain berkelas dunia iaitu Roel Franciscus Jacobus Bovendeert dari Belanda, penjaga gol terbaik Persekutuan Hoki Dunia (FIH) 2015 dan 2016, David Harte serta dua pemain Australia, Timothy James Deavin dan Kieran Ian Govers.
Sementara itu, TNB yang langsung tidak membariskan pemain import menduduki tempat kedua dengan 32 mata diraih manakala Terengganu Hockey Team (THT) pula menghuni tangga ketiga, kekurangan satu mata di belakang TNB.
Pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan yang beraksi untuk THT, Jang Jong Hyun unggul dengan 20 jaringan dihasilkannya menerusi 19 pukulan sudut penalti dan satu lagi gol terhasil susulan penalti strok.
Selepas mengharungi saingan liga, empat pasukan teratas bakal berentap dalam aksi separuh akhir Piala TNB di mana UniKL akan bertemu pasukan di tangga keempat, Maybank manakala TNB membuat perhitungan menentang THT pada 19 Februari ini.
Kredit foto: Malaysian Hockey Confederation