Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mendapat suntikan semangat menjelang perlumbaan sulung Kejuaraan Motosikal Dunia yang bermula 6 Mac ini di Litar Losail apabila mendapat suntikan tajaan daripada UMW Grantt International Sdn Bhd.
Meskipun syarikat korporat itu tidak mendedahkan jumlah tajaan tersebut, sumber Bernama menyatakan bahawa Hafizh sudah memperoleh kira-kira 60 peratus penajaan bagi menghadapi saingan pelumbaan motosikal berprestij dunia itu.
Pelumba berusia 25 tahun itu sebelum ini berlumba di kelas perdana, MotoGP buat dua musim berturut-turut, namun pada musim ini beliau akan kembali ke saingan Moto2 untuk bersama Angel Nieto Team.
Perjanjian penajaan yang terjalin itu jelas meningkatkan lagi moral Hafizh untuk menghasilkan keputusan positif pada musim ini.
“Saya akan buat yang terbaik untuk musim ini dan dengan kehadiran penaja, ia sedikit sebanyak beri suntikan semangat kepada saya, untuk pamerkan aksi lebih baik demi negara.”
“Saya tidak boleh janjikan kemenangan di setiap perlumbaan, tapi sudah pasti akan buat yang terbaik dan beri saingan yang lebih sengit kepada pelumba lain, dalam setiap perlumbaan nanti,” jelas Hafizh Syahrin bercakap dalam majlis di Putrajaya itu.
“Saya terpaksa mengubah cara kerja dengan jentera kerana ia sedikit berbeza. Jika dari kategori bawah (Moto3) ke Moto2, adalah lebih mudah untuk penambahaikan. Namun itu bukan masalah besar, kerana saya yakin dengan diri saya untuk buat yang terbaik.
“Saya percaya dengan sokongan daripada Grantt, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), saya akan cuba baiki diri saya di perlumbaan ujian dan perlumbaan sebenar di Qatar,” ujar pelumba kelahiran Selangor itu.
Seperti yang diketahui, Angel Nieto Team hanya menawarkan tempat dalam perlumbaan, manakala segala hal berkaitan gaji, tiket penerbangan, hotel dan kos latihan pengangkutan perlu dibiayai sendiri oleh Hafizh.
Ternyata perkembangan terkini ini sedikit sebanyak dapat membantu perjalanan karier Hafizh Syahrin pada musim ini.
Kredit foto: Official Fan Club Hafizh Syahrin 55