Bintang bola sepak dunia yang beraksi untuk Paris Saint-Germain (PSG), Neymar seperti diketahui telah menamatkan kerjasama erat selama 15 tahun bersama Nike.

Sehubungan dengan itu, beliau telah memilih jenama popular dari Jerman, PUMA sebagai penaja baharunya yang mana beliau dilihat menggunakan kasut bola paling ikonik sepanjang masa, PUMA KING pada aksi Ligue 1 bertemu Marseille, awal pagi tadi.

Pemilihan PUMA itu memberikan makna yang cukup besar dan ia jelas mengimbau kembali nostalgia buat Neymar ketika zaman kanak-kanaknya melihat legenda bola sepak dunia menggunakan kasut bola jenama ini.

”Saya membesar dengan melihat video-video legenda hebat dalam bola sepak seperti Pele, [Johan] Cruyff, [Lotthar] Matthaus, Eusebio dan [Diego] Maradona.”

”Terdapat KINGs [model kasut keluaran PUMA] di dalam padang, KINGs dalam sukan ini. Saya ingin mengembalikan semula legasi yang ditinggalkan oleh atlet-atlet tersebut di atas padang.”

”Mereka semua bermain dalam PUMA dan setiap daripada mereka telah mencipta magik bersama The KING,” ujar Neymar di laman Twitter rasmi miliknya.

”Setiap kali saya memakai kasut saya, kasut KING, saya akan melakukan apa sahaja untuk mencapai segala cita-cita sebagai penghormatan terhadap nama saya dan sesiapa sahaja yang pernah memakai kasut KING sebelum saya.”

”Ini akan menjadi sejarah saya bersama PUMA. The KING telah kembali.”

Sebagai rekod, model PUMA KING yang pertama kali dilancarkan adalah pada tahun 1968. PUMA KING Platinum menggunakan reka bentuk model KING yang asal tetapi dikemas kini dengan teknologi prestasi bola sepak terkini.

Ciri-ciri bahagian atas kasut yang lembut atau lebih dikenali sebagai K-Leather dikekalkan dan dipertingkatkan dengan tekstur sentuhan 3D untuk meningkatkan kawalan bola di atas padang.

Kasut ini juga teramat ringan dengan teknologi ‘RAPIDSPRINT’ yang membuatkan kasut ini sebagai model KING paling ringan yang pernah menjejaki padang bola sepak.

Kredit featured image: Aurelien Meunier – PSG/PSG via Getty Images