Beberapa orang kakitangan sebuah hospital di Mexico City cedera selepas mereka dibelasah ahli keluarga kepada mangsa COVID-19 yang telah meninggal dunia.
Video insiden pukul memukul tersebut telah viral di media sosial selepas dirakam oleh salah seorang kakitangan Hospital Besar San Pedro Xalpha Zone 48.
Kejadian malang tersebut berlaku selepas seorang lelaki yang tidak didedahkan butirannya, meninggal dunia akibat wabak korona virus. Dia dimasukkan ke wad hospital tersebut sejak Isnin lepas.
Ahli keluarga yang terkejut dengan berita kematian lelaki tersebut telah menjerit-jerit kepada pihak hospital supaya membenarkan mereka untuk melihat si mati buat kali terakhir.
Mengikut protokol yang dikeluarkan kerajaan Mexico, mangsa yang meninggal dunia kerana kes COVID-19 tidak boleh terdedah dengan orang lain dan harus segera dikebumikan untuk mengelakkan jangkitan kepada orang ramai.
Daniel Zamorano, seorang pegawai perubatan dan juga mangsa serangan ahli keluarga tersebut sempat memuatnaik video kejadian itu di laman Facebook sambil mengkritik insiden yang berlaku terhadap dirinya serta rakan-rakan pegawai perubatan yang lain.
“Keluarga, kawan dan jiran sentiasa sukar untuk menerima berita kematian. Hari ini empat lelaki dan dua wanita memukul saya kerana saudara mereka meninggal dunia akibat COVID-19,” kata Zamorano.
“Mereka tidak melihatnya sejak dari hari Isnin dan atas sebab yang sama si mati perlu ikut protokol yang telah ditetapkan . Dia tidak boleh dibebaskan. Dia perlu dikebumikan. Dia tidak seperti orang lain yang mati … Kamu tidak akan melihatnya lagi, dia mati di dalam hospital.”
Dia juga meluahkan rasa kecewa dengan rakan senegaranya yang tidak memandang serius dengan wabak COVID-19 walaupun kini sudah lebih 100,000 orang meninggal dunia, manakala hampir 2 juta orang disahkan positif di seluruh dunia.
Zamorano bagaimanapun tampil meminta maaf di atas video dan kenyataan yang dikeluarkan beliau tidak lama kemudian. Dia turut mengingatkan orang ramai bahawa kejadian itu adalah salah satu contoh bagaimana wabak menakutkan ini telah memberikan tekanan yang luar biasa kepada semua orang.
Sehingga ke hari ini, Mexico telah merekodkan sebanyak 296 kematian, daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 sebanyak 4,661 orang.
Baca juga artikel lain yang berkaitan dengan wabak COVID-19: