Masyarakat Cina di seluruh dunia bakal mengalu-alukan sambutan Tahun Harimau sebagai permulaan Tahun Baru berdasarkan kalendar Lunar. Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, harapan Tahun Baru ini adalah membawa kemakmuran, keharmonian keluarga dan keuntungan.

Tahun Baru Cina merupakan perayaan paling penting dalam kalendar Lunar. Kali ini, ia dapat disambut diluar pandemik selepas dua tahun. Kaum keluarga dapat berkumpul, menyediakan makanan bersama serta bertukar-tukar hadiah dan sampul merah atau ‘angpow’.

Bagi masyarakat Cina, mereka percaya ada 12 haiwan yang menaungi kalendar mereka. Haiwan ini ialah tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi. Kesemua haiwan ini memberi signifikan dan tuahnya tersendiri. Harimau merupakan haiwan ketiga dalam kitaran zodiak Cina. Haiwan ini memberi perlambangan sebagai dahan duniawi.

Hiasan Tahun Baru Cina pada tahun ini juga akan dihiasi dengan gambar-gambar harimau.

Maksud tanglung merah

Kredit gambar: Astro Awani

Hiasan-hiasan yang dipasang memberikan perlambangan keberkatan. Selalunya, ia dipasang beberapa hari menjelang Tahun Baru Cina. Perhiasan ini dikatakan boleh membawa keberkatan jika dipasang beberapa hari sebelum menjelangnya Tahun Baru Cina.

Tanglung merupakan satu elemen kebudayaan masyarakat Cina sejak tahun 250 SM lagi. Dua biji tanglung merah adalah hiasan yang paling signifikan dan mudah dilihat. Warna merah tanglung ini merupakan simbol harapan bahawa Tahun Baru ini akan diserikan dengan tuah, nasib baik dan kebahagiaan.

Selain dua biji tanglung merah, kain riben merah, hiasan seni guntingan kertas mengikut bentuk perkataan yang membawa tuah dan keberkatan juga dilekat pada dinding dalam rumah.

Hiasan pokok limau dan nenas

Kredit gambar: Projek MM

Terdapat juga keluarga yang menghiaskan rumah mereka dengan pokok limau. Kebiasaannya, sebanyak lapan pasu pokok limau yang berbuah lebat setinggi 8 kaki digunakan sebagai perhiasan.

Pokok limau dipercayai sejak turun temurun mampu mendatangkan lebih banyak rezeki, untung dan kekayaan. Dalam bahasa Kantonis, limau dipanggil sebagai “kam” yang bermaksud emas dan simbol kekayaan.

Selain pokok limau, pokok nenas yang berbuah juga selalu menjadi pilihan. Dikatakan nenas juga membawa unsur positif kepada masyarakat Cina. Nenas dalam bahasa Kantonis dipanggil sebagai “wong lai”, iaitu tuah datang.

Hiasan bunga kekwa dan lucky bamboo

Kredit gambar: Ekor

Selain daripada buah limau, bunga kekwa atau Chrysanthemum juga sangat penting semasa sambutan Tahun Baru Cina. Bagi masyarakat Cina, bunga kekwa melambangkan panjang umur.

Selain itu juga, warna kekwa yang paling diminati adalah kuning dan warna keemasan. Secara simboliknya, ia memberi maksud kekayaan dan kemakmuran.

Pokok hiasan lucky bamboo juga sering dipilih sebagai hiasan sampingan. Bagi masyarakat Cina, lucky bamboo ini membawa maksud kekuatan. Kebiasaannya, ia akan dihias dengan reben merah yang membawa maksud tuah dan kebaikan.

Sumber: