Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2020 kali ini perlu dilakukan melalui medium telefon dan media sosial. Ia adalah untuk menggantikan diri bagi mengeratkan silaturrahim sesama keluarga dan kawan-kawan.

Menurutnya, norma sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti rumah terbuka tidak boleh diadakan. Begitu juga dengan amalan menziarahi kubur yang boleh digantikan dengan amalan bacaan Yasin dan tahlil.

Tetapi amalan bertukar-tukar hidangan pada pagi Hari Raya boleh dilakukan. Dengan syarat, ia perlu mengikut garis panduan yang selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Datuk Abdul Halim turut memberitahu takbir raya di masjid dan surau hanya perlu dilakukan oleh imam, bilal dan siak atau menggunakan rakaman sahaja. Sementara itu jemaah lain hanya perlu melaungkan takbir raya dan solat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing.

Amalan tradisi takbir raya dari rumah ke rumah pada malam raya juga tidak dibenarkan.

Sementara itu, penyiar stesen radio dan televisyen disarankan menyiar rakaman takbir raya dengan memberi nota bahawa rakaman tersebut dibuat sebelum PKP dikuatkuasa.

Semua panduan raya Aidilfitri tahun 2020 ini dibuat berdasarkan Resolusi Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Kali Ke-3 melalui sidang video di Kompleks Islam Putrajaya pada 21 April lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham sebelum ini memberitahu walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditamatkan nanti, orang ramai masih perlu membuat tiga perkara: duduk di rumah, amalkan penjarakan sosial dan sentiasa membasuh tangan.

Menurut Dr Hisham, kehidupan tidak akan menjadi normal sehinggalah vaksin COVID-19 berjaya ditemui. Sehingga itu, semua rakyat Malaysia perlu mengadaptasi kehidupan ‘normal yang baru’.

Buat ujian saringan tak batal puasa

Datuk Abdul Halim turut mengesahkan puasa orang yang perlu menjalani prosedur ujian saringan COVID-19 tidak batal.

Dalam prosedur ujian saringan COVID-19, doktor atau jururawat perlu mengambil sampel mukus dalam dua rongga iaitu:

  • hidung hingga ke kawasan rongga hidung paling atas (nasopharynx)
  • rongga mulut hingga ke kawasan anak tekak (oropharynx)

Menurutnya, keputusan tersebut sejajar dengan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan Ke-87 pada 25 Jun 2009 yang memperakukan Panduan Berpuasa Bagi Pesakit.

“Jika tidak mampu berpuasa atau jika berpuasa boleh melambatkan kesembuhan atau akan menambahkan kemudaratan (berdasarkan nasihat pakar perubatan), mereka diharuskan tidak berpuasa.

“Bagaimanapun, mereka wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan selepas Ramadan mengikut jumlah hari yang ditinggalkan,” katanya.

Bagaimanapun bagi pesakit COVID-19 yang asymptomatic, mereka wajib berpuasa kerana mereka tidak perlu makan ubat.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan:

Sumber: