Tidak selesa dituduh menerima rasuah semasa berkhidmat dibawah kementerian, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman tampil menjelaskan sumber pendapatan yang diterima olehnya melalui hantaran di Facebook.

Tuduhan rasuah itu timbul selepas dia melaporkan kehilangan wang tunai sebanyak RM250,000 yang dicuri daripada sebuah peti besi di kediamannya baru-baru ini.

Menerusi hantaran itu, Syed Saddiq berkata dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan mengenai tuduhan rasuah itu dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya.

Ahli Parlimen Muar itu turut berkongsi pecahan pendapatan yang diterima oleh seseorang menteri termasuklah elaun-elaun yang ada.

Pendapatan Tinggi Yang Diperoleh Menteri di Malaysia

Seorang Ahli Parlimen, yang juga merupakan seorang menteri memperoleh pendapatan sekitar RM55,000 sebulan.

Mereka turut menerima insentif tambahan sekiranya pergi ke kawasan perwakilannya atau menghadiri program yang jauh dari pejabat.

Antara elaun lain yang diterima oleh menteri termasuklah RM70,000 untuk percutian, RM180 sehari untuk makanan, RM10,000 sebagai elaun pindah rumah, dan yang paling mencuri perhatian ialah elaun one-off untuk pinggan mangkuk sebanyak RM42,000.

Tambah Syed Saddiq lagi, sekiranya seseorang menteri diberhentikan dari jawatan, mereka juga akan menerima pembayaran one-off sebanyak RM150,000.

“Sehingga kini, saya masih tidak mengerti mengapa perlu ada menteri yang menerima rasuah,” tulis Syed Saddiq menerusi hantaran Facebook miliknya.

Netizen yang terkejut dan terkilan dengan jurang perbezaan yang sangat ketara dari segi pendapatan antara menteri yang rakyat bagaimanapun memuji keberanian dan sikap telus bekas menteri itu dalam berkongsi perkara berkenaan.

Dengan gaji dan elaun yang sangat tinggi apabila dilantik menjadi seorang menteri di Malaysia, rakyat pastinya menaruh harapan agar menteri yang dipilih memberikan komitmen yang tinggi semasa berkhidmat untuk pembangunan masyarakat dan negara.

Baca juga artikel lain yang menarik buat anda:

Sumber: