Kelebihan membaca ayat al-Quran ialah setiap huruf yang dibaca dikira satu kebaikan yang akan dilipatgandakan menjadi 10 pahala kebaikan.
Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya satu kebaikan dengan bacaan itu dan satu kebaikan digandakan menjadi 10 kebaikan yang serupanya. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Riwayat al-Tirmizi)
Kelebihan membaca itu jelas mendapat ganjaran pahala yang besar sekalipun seseorang itu tidak faham bahasa Arab mahupun masih kurang lancar atau bacaannya tersangkut-sangkut.
Justeru, mana-mana surah di dalam al-Quran boleh dibaca pada bila-bila masa yang sesuai tetapi tidak boleh mengkhususkan waktu dan kelebihan tertentu melainkan ada dalil sahih yang menjelaskan perkara berkenaan.
Sunnah Membaca Al-Kahfi Pada Malam dan Hari Jumaat
Bagi umat Islam di Malaysia khususnya masyarakat Melayu, kita sudah dibiasakan dengan amalan membaca surah Yaasin pada malam Jumaat. Ianya dibuat secara meluas termasuk di masjid-masjid ataupun surau-surau di seluruh megara.
Sekalipun tiada sebarang galakan khusus daripada Rasulullah s.a.w, ianya menjadi satu kebiasaan yang dianggap satu amalan untuk mendapatkan pahala membaca al-Quran.
Di Malam Jum’at, Lebih Utama Membaca Surah Yasin atau Surah al-Kahfi https://t.co/GBoXNsUT6W pic.twitter.com/Ywxgp5MjRH
— #SahabatIbadah (@BincangSyariah) June 27, 2019
Apa yang jelas, malam Jumaat atau hari Jumaat disunatkan kepada kita untuk membaca Surah al-Kahfi berdasarkan dalil hadis yang darjatnya sahih daripada Rasulullah s.a.w.
Pertama: “Barang siapa membaca al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya cahaya akan meneranginya antara dirinya hingga ke Baitul Atiq (Ka’bah).” (Riwayat ad-Darimi)
Kedua: “Barang siapa membaca al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya cahaya akan meneranginya selama waktu antara Jumaat yang satu ke Jumaat berikutnya.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Antara kelebihan Surah al-Kahfi adalah seperti yang diriwayatkan Abu Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang menghafal sepuluh ayat daripada awal Surah al-Kahfi akan terpelihara daripada dajjal.” (Riwayat Muslim)
Dalam riwayat Abu Dawud pula seperti yang dikatakan oleh Qatadah, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menghafal ayat akhir daripada Surah al- Kahfi akan terpelihara daripada fitnah Dajjal.”
“Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada hari Jumaat, maka ALLAH terangi ia dengan cahaya di antara dua Jumaat." #fridaytazkeerah #UiTMdiha pic.twitter.com/z4qgqepzRL
— UiTM Official (@uitmofficial) November 2, 2017
Berdasarkan hadis itu, secara ringkasnya ada dua pendapat mengenai kelebihan membaca Surah al-Kahfi iaitu bacaan 10 ayat yang terawal dan 10 ayat terakhir.
Mengapa 10 Ayat Terawal dan 10 Ayat Terakhir Dipilih?
Sepuluh ayat terawal memperihalkan mengenai kenyataan al-Quran dan keadaan orang yang kufur serta orang yang beriman terhadap al-Quran manakala 10 ayat yang terakhir pula menunjukkan natijah bagi mereka yang beriman dan kufur.
Dengan menghafal ayat awal dan ayat akhir surah itu akan menambahkan lagi keimanan bagi mereka yang benar-benar mentadabburkan ayat al-Quran serta mengharap pemeliharaan Allah SWT daripada fitnah dajjal.
Membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat sangat digalakkan ke atas setiap Muslim tidak kira 10 ayat terawal mahupun 10 ayat terakhir atau sebahagiannya dan lebih baik membaca satu surah lengkap.
Ini kerana surah al-Kahfi dapat menjadi benteng keimanan yang kukuh daripada fitnah dajjal bagi sesiapa yang mengamalkannya. Maka surah itu memberi harapan baru bagi mereka yang tidak mempunyai harta yang banyak.
Salam Jumaat.
Jumu'ah Mubarokah❤️
Let's spend some time to read Surah Al-Kahfi.@OfficialIIUM, @IIUMToday, @twt_bedsa, @TechEdIIUM, @UIABest, @iiumLOL, @kamiUIA pic.twitter.com/kV6eO74ZcJ— KEPSA (@KEPSAIIUM) March 6, 2020
Tambahan pula pada akhir zaman ini tentangan terhadap Islam semakin kuat sehingga Rasulullah SAW bersabda: “Akan sampai satu masa manusia yang mempunyai kesabaran pada agamanya akan menjadi seperti orang yang menggenggam bara api.” (Riwayat al-Tirmizi)
Sejajar dengan keadaan itu, Allah SWT menurunkan surah al-Kahfi supaya ia dapat menjadi benteng keimanan buat seorang Muslim menerusi model utamanya sendiri iaitu segolongan pemuda yang teguh keimanannya.
Mereka meninggalkan segala harta dunia demi keimanan mereka terhadap Allah SWT dan hari akhirat sehingga ganjaran yang mereka terima berlipat kali ganda.
Artikel ini ditulis oleh Ustaz ‘Ammar Razali, seorang tenaga pengajar di Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz MAIWP dan merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Al-Quran dan Al-Qiraat di Maahad Qiraat Shoubra, Al-Azhar, Mesir.
Kredit Foto: SM Integrasi Sains Tahfiz MAIWP