Kerajaan membenarkan suami atau isteri yang tinggal berjauhan diberi kelonggaran untuk melakukan perjalanan rentas negeri untuk berjumpa dengan keluarga masing-masing.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran itu dibenarkan untuk seminggu sekali sahaja.
“Ini pasal suami isteri yang tinggal berjauhan, iaitu weekend husband atau wife. Yang mana setiap minggu keluarga mereka berada di negeri lain.
“Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, mereka dibenarkan rentas negeri. Sebagai contoh suami bekerja di Johor Bahru, isteri bekerja di Melaka.
“Selama ini oleh kerana tiada rentas negeri dibenarkan, maka mereka terpisah dengan keluarga mereka, Sekarang kita benarkan isteri, suami hari minggu untuk berjumpa suami atau isteri satu minggu sekali,” katanya pada sidang media.
Ismail Sabri berkata, permohonan untuk tujuan berkenaan boleh dibuat dengan melaporkan diri di balai polis berhampiran.
Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini, kerajaan menanggung kos kuarantin wajib bagi warganegara Malaysia sahaja.
Bagaimanapun katanya, bagi pasangan dan ahli keluarga rakyat Malaysia yang berstatus Permastautin Tetap (PR) dan Pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang dikuarantin wajib, kos kuarantin perlu ditanggung sendiri.
“Namun, terdapat dalam kalangan mereka ini yang enggan membayar kos kuarantin.
“Mana-mana Permastautin Tetap dan Pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang berdegil untuk membayar, Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan termasuk membatalkan kemudahan imigresen yang dinikmati sebelum ini.
“Bukan bermakna kita batalkan PR atau pas lawatan mereka, tapi kita tarik keistimewaan mereka. Kalau sebelum ni, dua atau tiga tahun untuk renew pas, selepas ni mereka perlu renew tiga atau empat bulan sekali mesti renew.
“Keistimewaan ini ditarik balik sehingga mereka membayar kos tertunggak,” ujarnya.
Beliau menambah, Pejabat Peguam Negara juga akan meneliti perkara tersebut untuk tindakan undang-undang selanjutnya.